“Seperti semua sedia maklum, dia wanita luar biasa. Terima kasih kerana turut bersama dan saya menghargai sokongan dan dorongannya”.
Demikian luahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman buat penyanyi dan pelakon, Bella Astillah yang kekal setia dan terus hadir memberi sokongan pada hari ketiga prosiding rayuan kesnya di Mahkamah Rayuan, pada Khamis.
Menerusi perkongsia tular, Bella sekali lagi mencuri perhatian apabila hadir seawal jam 8.15 pagi di Istana Kehakiman, Putrajaya bagi mengikuti pendengaran kes rayuan Syed Saddiq yang memohon untuk mengetepikan sabitan serta hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas empat kesalahan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Bella tampil sederhana dalam persalinan baju kurung berona kuning selain turut dilihat beramah mesra bersama ahli keluarga Syed Saddiq yang hadir memberi sokongan moral.
Selain Bella, Syed Saddiq juga menyifatkan ibunya, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz, sebagai sumber kekuatan utama dalam perjuangan membersihkan namanya.
“Wanita besi ini bersama saya sejak 2020. Malah, ketika saya sedang disiasat, ibu diuji dengan kanser dua kali. Daripadanya, saya dapat semangat untuk terus berjuang,” ulasnya.
Sementara itu, Shariffah Mahani tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata ketika mengucapkan terima kasih kepada semua yang terus menyokong anaknya.
“Saya lihat sendiri bagaimana anak saya berjuang. Terima kasih atas sokongan dan doa semua. Harapan saya, semoga lebih ramai anak muda turut sama berjuang demi kebenaran,” kongsinya.
Prosiding rayuan Syed Saddiq berlangsung selepas sesi ditangguhkan pada 20 Mac lalu.
Bagaimanapun, keputusan Mahkamah Rayuan berhubung sabitan dan hukuman Syed Saddiq akan dimaklumkan pada satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Terdahulu, pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana ARMADA.
Syed Saddiq kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.
Prosiding rayuan ini adalah peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya dia didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.
Sumber: Berita Harian, Harian Metro