Pelakon, pengacara dan penyanyi, Sherry Alhadad, memuji cara dan gaya pengacaraan yang ditunjukkan Naz Rahman dan Sissy Imann ketika mengendalikan anugerah Juara Lagu ke-39 baru-baru ini.
Kata Sherry atau nama penuhnya, Sharifah Maryam Syed Abdullah Alhadad berkata, dia gembira apabila pasangan hos Naz Rahman dan Sissy Imann berjaya memberikan nafas baharu kepada pentas anugerah berprestij itu.
Menerusi temu bual bersama XTRA, Sherry menjelaskan bahawa Sissy bukanlah datang ke pentas itu dengan tangan ‘kosong’ sebaliknya kelebihan sebagai penyanyi selain mahir dalam bidang muzik turut memberi kelancaran untuknya mengendali acara itu.
“Ketika nama Sissy dan Naz diumumkan sebagai pengacara, saya sangat gembira. Sissy juga seorang yang sangat berilmu dalam bidang muzik, jadi dia tidak kosong.
“Bila melihat Sissy dan Naz mengacara, mereka sangat berkelas. Mereka tahu apa yang mereka katakan dan mengacara dengan sangat elegan.
“Bagi seorang pengacara baru yang mengendalikan acara besar seperti itu, Sissy kelihatan sangat bersahaja dan tenang. Ini menunjukkan dia sudah tahu kelebihannya. Go girl!” katanya.
Sherry berkongsi mengenai perkara itu usai majlis pelancaran lagu raya nyanyian duet bersama pelakon dan pengacara popular, Ain Edruce berjudul ‘Balik Kampung… Gosip Raya’ yang diadakan di pusat membeli belah terkenal baru-baru ini.
Menjawab mengenai kehendak netizen yang mahu hos menyelitkan unsur lawak, Sherry menjelaskan bahawa setiap individu perlu diberikan ruang dan peluang untuk menyerlahkan bakat mereka.
“Kita perlu memberi peluang kepada orang lain untuk tampil. Kalau orang tidak beri peluang kepada saya dahulu, saya mungkin tidak akan sampai ke tahap ini.
“Kita belajar teknik atau mekanisme cara untuk mengacara, tetapi kita sendiri yang perlu memasukkan kelebihan diri.
“Setiap orang akan mempunyai tandatangan tersendiri. Mekanisme yang sama, tetapi cara untuk kepelbagaian mengikut diri sendiri.
“Setiap orang ada keistimewaan dan kekurangan masing-masing,” jelasnya.
Tidak habis disitu, Sherry mengaku dia juga pernah menerima kecaman dan kritikan ketika mengacarakan AJL bersama Alif Satar.
“Masa saya jadi pengacara AJL dengan Alif Satar, orang pun memberi komen. Perkara itu pasti berlaku, tetapi saya selalu ingat untuk cuba yang terbaik.
“Jangan terus menghukum kerana kita tidak tahu apa yang berlaku disebaliknya,” ujarnya.
Sebelum ini, pemilihan Naz dan Sissy sebagai hos AJL39 menerima respon negatif dalam kalangan netizen.
Bagaimanapun, usai majlis berprestij itu berlangsung, rata-rata warganet memuji tindakan profesional Naz dan Sissy yang tidak menjadikan isu perli rakan artis sebagai topik dalam pengacaraan mereka.