'Di sini, anda berubah daripada budak lelaki menjadi lelaki sejati' – Panglima Angkatan Tentera Malaysia

'Di sini, anda berubah daripada budak lelaki menjadi lelaki sejati' – Panglima Angkatan Tentera Malaysia

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pelajar lepasan Maktab Tentera Diraja (MTD) yang bakal menjadi pemimpin negara disaran mengamalkan nilai-nilai murni dan memberi komitmen dalam memperbaiki kehidupan masyarakat.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata, sebagai bakal pemimpin negara, pelajar sewajarnya mengamalkan nilai-nilai murni seperti integriti, kecekapan dan keberanian.

“Pemimpin yang berjaya bukan hanya sekadar diukur dari segi pencapaian akademik semata -mata tetapi juga keprihatinan terhadap isu-isu sosial serta komitmen untuk memperbaiki kehidupan masyarakat.

“Maktab ini berkongsi cogan kata, ‘Serve to lead’ membawa makna yang amat besar dan menjadi cogan kata semangat untuk setiap Putera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampai ucapan pada Perbarisan Tahunan Putera MTD 2024 disertai 436 pelajar di Padang Kawad MTD, Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Mohd Nizam berkata, Putera maktab keramat itu seharusnya menjadi yang terbaik antara yang terbaik.

“Apa yang kamu semua lalui di sini tidak sama dengan penuntut di sekolah berasrama penuh yang lain.

“Di sini, anda berubah dari budak lelaki menjadi lelaki sejati. Di sini, anda belajar apa itu semangat persaudaraan dan apa itu kesusahan serta rasa bersyukur,” katanya.

Beliau berkata, paling penting mereka belajar bahawa kepimpinan adalah segalanya.

Terdahulu, Mohd Nizam menyempurnakan Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) Tahun 2024 dengan disaksikan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr) Zulhelmy Ithnain.

Perbarisan pada kali ini menampilkan lapan detasmen yang diketuai Pegawai Rendah Kanan Muhammad Adif Hakimi Abdul Razak dari Kompeni Delta dengan pembabitan keseluruhan seramai 436 Putera.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top