PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, Nur Aidil Fitri Arasy Helmi dilaporkan hilang dari kediamannya di Apartmen Sri Menanti, Bandar Sri Damansara di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan remaja itu pada pukul 11.23 malam, hari kejadian.
“Nur Aidil Fitri Arasy kali terakhir dilihat berada di kediamannya di Apartmen Sri Menanti kira-kira pukul 5.50 petang, kelmarin.
“Remaja terbabit mempunyai ketinggian 163 sentimeter dengan berat badan lebih kurang 52 kilogram, berkulit cerah, rambut hitam dengan hidung mancung dan bibir nipis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah Shahrulnizam, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa dimohon tampil ke mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.
Jelasnya, maklumat juga boleh disalurkan terus dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Izahita di talian 010-2513690. – UTUSAN