DFC Puncak Alam mohon maaf azan Maghrib awal

DFC Puncak Alam mohon maaf azan Maghrib awal

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengurusan DarSA Fried Chicken (DFC) Puncak Alam, Kuala Selangor, memohon maaf kepada pelanggan dan kakitangannya kerana laungan azan Maghrib yang dikumandangkan tiga minit lebih awal sebelum masuk waktu sebenar pada 17 Mac lalu.

Pihak berkenaan berkata, laungan azan Maghrib pada tarikh itu dikumandangkan pada 7.26 malam, sedangkan waktu sebenar bagi kawasan Kuala Selangor adalah jam 7.29 malam berdasarkan rujukan rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Menurutnya, pihaknya mengambil maklum bahawa kesilapan itu menyebabkan pelanggannya berbuka puasa lebih awal daripada waktu sepatutnya.

“Kami dengan penuh rasa tanggungjawab memohon maaf atas kekhilafan ini dan amat menghargai kesedaran serta keprihatinan pelanggan yang memaklumkan perkara ini kepada kami.

“Sehubungan itu, kami ingin menasihatkan pelanggan yang sudah berbuka pada waktu berkenaan untuk menggantikan (qadha’) puasa bagi mematuhi hukum syarak.

“Kami juga sudah mengambil langkah pembetulan bagi memastikan perkara ini tidak berulang, termasuk menyemak dan menyelaraskan waktu azan dengan jadual rasmi solat,” katanya dalam kenyataan yang diulang siar di Facebook (FB) rasminya, malam ini.

Sebelum ini, pihak berkenaan juga sudah membuat perkongsian kenyataan pemberitahuan dan permohonan maaf berkenaan di laman FB rasmi mereka pada 19 Mac lalu.

Kenyataan itu berkata, pihaknya menghargai kepercayaan pelanggan terhadap DarSA Puncak Alam dan berkomitmen untuk memberikan pengalaman terbaik kepada semua pelanggan.

“Segala kesulitan amat dikesali dan kami berterima kasih atas pemahaman serta sokongan anda,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd