Batu Kawan: Syarikat peranti perubatan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) Dexcom Inc secara rasminya membuka kemudahan pembuatan baharu di Batu Kawan, Pulau Pinang yang juga lokasi pembuatan di luar negara pertamanya di luar AS.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, pelaburan strategik bernilai RM2.83 bilion itu akan menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan di negeri berkenaan, menyumbang kepada tenaga kerja yang dijangka memberi impak positif kepada kehidupan lebih tiga juta rakyat di seluruh dunia.
Dexcom yang ditubuhkan pada 1999 adalah peneraju global dalam teknologi pemantauan glukosa berterusan (CGM) bagi individu yang menghidap diabetes.
“Penubuhan kemudahan baharu ini memperlihatkan komitmen berterusan Dexcom untuk mengawal kesihatan melalui sistem CGM yang inovatif.
“Langkah ini turut memperteguh reputasi Pulau Pinang sebagai hab global bagi industri teknologi maju, memperkukuh kedudukan sebagai destinasi pilihan untuk pembuatan berkualiti tinggi dan inovasi,” katanya dalam ucapan perasmian pada majlis berkenaan di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Datuk Aziz Bakar; CEO InvestPenang, Datuk Loo Lee Lian dan Ketua Pegawai Operasi Dexcom, Jake Leach.
Chow berkata, Pulau Pinang berada di landasan tepat untuk muncul sebagai hab teknologi perubatan (medtech) di Asia Tenggara dengan memanfaatkan lebih 50 tahun kecemerlangan industri di negeri itu.
Dinamakan sebagai Lembah Silikon Timur, Pulau Pinang mempunyai penumpuan yang tinggi daripada syarikat teknologi perubatan di Malaysia dan Asia Tenggara setakat ini.
Chow berkata, Pulau Pinang mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport utama negara pada September, dengan 37.5 peratus bahagian atau RM46.5 bilion daripada jumlah perdagangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd