DEWAN RAKYAT: Lebih 10 peratus guru kurang di sekolah -Fadhlina

DEWAN RAKYAT: Lebih 10 peratus guru kurang di sekolah -Fadhlina

KUALA LUMPUR: Negara berdepan sebanyak 10.46 peratus kekurangan bilangan guru di semua sekolah, berdasarkan data terkini setakat 31 Oktober 2023.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peratusan itu merangkumi sekolah kebangsaan (SK) yang kekurangan sebanyak 4.83 peratus guru, diikuti sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dengan 3.69 peratus dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) dengan 1.94 peratus.

“Isu kekurangan guru ini adalah isu sementara, kita melakukan pelbagai inisiatif supaya ia dapat ditangani sewajarnya.

“Ia sedang berlaku di semua jenis sekolah, namun, Kementerian Pendidikan mengakui terdapat kekosongan bilangan guru di semua sekolah,” katanya ketika sesi penggulungan dalam Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, beliau juga komited dalam mengisi kekosongan jawatan guru dan memastikan pendidikan berkualiti terhadap semua murid di negara ini.

“Ada juga data-data lain yang sedang dilakukan untuk penambahbaikan, supaya isu ini dapat selesaikan dengan bersungguh-sungguh, saya bagi jaminan isu guru sentiasa menjadi perhatian kita.

“Jadi, jangan bimbang dengan isu ini, saya ambil tanggungjawab penuh secara keseluruhan, jangan tengok isu ini dari kaca mata satu sudut sahaja,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa terdapat juga kekurangan guru pendidikan khas berjumlah 1,181 orang merangkumi 733 orang di sekolah rendah dan 448 di sekolah menengah.

“Kaedah menangani kekurangan guru pendidikan khas lebih kurang sama iaitu permohonan pertukaran guru, penempatan guru dan penempatan guru baharu di peringkat Institut Pendidikan Guru (IPG),” katanya.

Tambahnya, tingkatan enam juga berdepan dengan isu kekurangan guru ketika ini.

“Sehingga 31 Oktober 2023, terdapat 1,447 keperluan guru bahasa Melayu dengan pengisian sebanyak 1,274 dan daripada jumlah itu terdapat kekosongan 173 orang.

“Pengisian perjawatan guru itu secara keseluruhannya daripada guru arus perdana yang menjadi sumber utama pengisian akademik tingkatan enam selain guru baharu.

“Maka laluan khas guru cemerlang tingkatan enam diwujudkan bagi mempertingkatkan bilangan guru dan bilangan guru cemerlang supaya kita dapat memberikan pendidikan berkualiti,” katanya. -UTUSAN

Scroll to Top