khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sidang Dewan Rakyat sesi petang kecoh gara-gara tindakan RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mengatakan pembangkang tidak serius dalam persidangan dan perkataan ‘kurang ajar’ diungkapkan oleh Datuk Che Mohammad Zulkifly Jusoh (PN-Besut).
Kekecohan itu bermula apabila Rayer menuduh pembangkang tidak serius dengan persidangan dan selalu meminta undi belah bahagi.
Berang dengan kenyataan itu, beberapa ahli parlimen pembangkang bangun seperti Che Mohamad Zulkifly, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau).
Che Mohamad Zulkifly mengungkapkan RSN Rayer telah bersifat ‘kurang ajar’ manakala Shahidan menyifatkannya Parlimen bukan milik Ahli Parlimen Jelutong itu.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudiannya meminta Rayer menarik balik kata-katanya itu.
“Jelutong, semua ahli Parlimen mempunyai hak. Saya bukannya nak menyebelahi sesiapa tapi gunakanlah hak itu sebaiknya walaupun mereka minta (undi) belah bahagian, itu hak mereka,” katanya.
Rayer kemudiannya dilihat akur dan menarik balik apa yang diungkapkannya itu.
Bagaimanapun, kekecohan itu tidak tamat sehingga itu apabila Chong Zhemin (PH-Kampar) bangun membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (6) dengan menyatakan Che Mohamad Zulkifly telah membuat sangkaan jahat sebelum itu.
“Tadi saya dengar Besut (sebut) perkataan ‘kurang ajar’. Saya minta Besut tarik balik kerana petua telah dibuat,” katanya.
Johari kemudian menyatakan beliau tidak mendengar kata-kata ‘kurang ajar’ yang diungkapkan oleh Che Mohamad Zulkifly itu.
“Oleh (sebab) riuh rendah, hiruk pikuk saya tak dengar tadi. Saya nak tanya Besut, adakah Besut ungkapkan perkataan itu. Ya atau tidak?” soal Johari.
Bagaimanapun, Che Mohamad Zulkifly kemudiannya menafikan beliau mengungkapkan perkataan ‘kurang ajar’ itu.
Zhemin kemudiannya bangun dan meminta Che Mohamad Zulkifly jangan berbohong dalam Dewan Rakyat.
“Besut, bohong dosa tau. Jangan bohong dalam dewan. Ini masuk hansard. Saya dengar. Besut tipu. Kuat bohong dalam Parlimen. Saya akan semak hansard,” kata Zhemin.
Ia kemudiannya ditenteramkan oleh Johari dengan meminta agar Zhemin tidak risau berkait perkara itu.
“Kalau dia berbohong, dia masuk neraka. Don’t worry (Jangan risau). Kita jumpa di akhirat esok. Insya-allah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd