am@hmetro.com.my
Kuala Krai: Berpantang maut sebelum ajal. Itu yang berlaku kepada seorang lelaki yang diselamatkan orang awam selepas kereta yang dipandunya terjunam ke dalam Sungai Durian, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan insiden itu pada jam 6.23 petang.
Katanya, ketika kejadian itu berlaku, difahamkan mangsa yang berusia 28 tahun memandu kereta Proton Exora dari arah Kota Bharu ke Kuala Krai.
“Setibanya di lokasi, kenderaan yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas lalu terjunam ke dalam sungai.
“Bagaimanapun, mangsa berjaya dikeluarkan penduduk setempat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. Mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Juniman Junoh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 6.17 petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd