Paris: Jurulatih Perancis yang pernah memenangi Piala Dunia 2018, Didier Deschamps mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan jawatannya itu selepas edisi 2026.
“Ia akan berakhir pada 2026,” kata Deschamps kepada stesen penyiar Perancis, TF1.
“Saya telah berada di sini sejak 2012, sepatutnya saya akan kekal sehingga 2026… Piala Dunia yang seterusnya.
“Ia akan tamat di situ kerana semuanya perlu ada pengakhirannya. Perkara ini sudah jelas dalam fikiran saya.
“Saya telah menjalankan tugas saya, dengan keinginan yang sama, semangat yang sama untuk memastikan pasukan Perancis berada di tahap tertinggi, tetapi 2026 adalah masa yang sesuai (untuk berundur),” katanya lagi.
Deschamps membawa Perancis meraih kejuaraan Piala Dunia di Rusia pada 2018 dan membimbing mereka ke final Piala Dunia 2022 di Qatar, di mana mereka tewas kepada Argentina diketuai Lionel Messi menerusi penentuan penalti.
Sebagai pemain, beliau pernah menjadi kapten pasukan Perancis ketika mereka menjuarai Piala Dunia 1998 di tanah air sendiri, menewaskan Brazil dalam perlawanan akhir.
Jurulatih berusia 56 tahun itu adalah salah seorang daripada hanya tiga individu yang pernah memenangi Piala Dunia sebagai pemain dan juga jurulatih.
Dua lagi ialah Mario Zagallo dari Brazil dan Franz Beckenbauer dari Jerman, yang kedua-duanya meninggal dunia tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd