Derrick ditawarkan 5 buah motosikal, lebih 1,000 mesej belum dibuka

Derrick ditawarkan 5 buah motosikal, lebih 1,000 mesej belum dibuka

MELAKA – Penyokong fanatik Harimau Malaya, Derrick Gan yang tular di media sosial terus dilimpahi rezeki apabila sehingga kini sudah ditawarkan lima buah motosikal daripada beberapa individu dan syarikat.

Jurutera program berusia 30 tahun berasal di Melaka itu berkata, selain itu terdapat lebih 1,000 lagi mesej di Facebook dan Instagram yang masih belum dibuka.

“Sebenarnya sejak kisah saya itu tular terlalu ramai yang mengucapkan tahniah termasuk ada yang menawarkan saya motosikal bagi menghargai pengorbanan saya itu.

“Setakat ini, saya boleh katakan ada lima pihak yang menghubungi saya untuk memberikan motosikal namun saya tiada maklumat lanjut kerana tidak sempat menghubungi semula mereka,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial seorang penyokong Harimau Malaya mencuri tumpuan selepas dilihat menangis ketika meraikan gol kedua pasukan negara menentang Korea Selatan di Stadium Al Janoub.

Pada aksi perlawanan terakhir terakhir Kumpulan E Piala Asia 2023 itu, Malaysia memperagakan semangat juang tinggi apabila berjaya mengikat pasukan ketiga terbaik Asia itu dengan keputusan 3-3.

Tangisan Derrick Gan, mendapat perhatian apabila disebalik itu, turut tular kisahnya yang menjual sebuah motosikal kesayanganya yang telah digunakan sejak 10 tahun lalu pada harga RM4,500 semata-mata untuk menyaksikan penampilan Harimau Malaya di Qatar.

Mengulas lanjut, Derrick berkata, dia tidak menyangka tindakannya itu akan tular dan mendapat liputan meluas rakyat di seluruh negara.

“Saya sebenarnya seorang yang sangat pendiam sebab itu saya berharap kisah ini akan segera berakhir namun amat berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin.

“Setakat ini saya belum dapat membalas semua mesej satu persatu tapi saya akan berbincang dengan sepupu untuk memberikan satu kenyataan rasmi tidak lama lagi,” katanya.

Media hari ini melaporkan Derrick menerima menerima sebuah motor skuter Modenas Karisma bernilai RM5,400 daripada Modenas dengan kerjasama stesen radio, Era sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Semalam, seorang pengguna di laman Instagram dikenali sebagai Danial Mazalan berkongsi hasrat pemain negara, Faisal Halim untuk menghadiahkan sebuah motosikal Derrick atas pengorbanannya itu. – MalaysiaGazette

 

 

 

– MalaysiaGazette