Derita pembeli rumah PR1MA Residensi Bandar Ekar

Derita pembeli rumah PR1MA Residensi Bandar Ekar

amir_hamid@mediaprima.com.my

Petaling Jaya: Hubungan suami isteri berantakan hingga bercerai-berai, malah terdapat pembeli yang sudah meninggal dunia.

Itu nasib pembeli kediaman Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Residensi Bandar Ekar, Rantau, Negeri Sembilan yang sehingga kini masih belum diserahkan kunci.

Projek itu yang dimulakan pada 2017 sepatutnya siap pada Januari 2019, membabitkan 766 unit rumah teres setingkat dan dua tingkat berharga antara RM165,000 hingga RM240,000.

Pembeli, Hamidi Shamsuddin, 41, berkata, sudah 15 kali pemaju berjanji kediaman itu siap dan mereka akan diberi kunci, tetapi ia tidak pernah tertunai sehingga mereka terasa seperti dipermainkan.

“Kami berharap rumah dapat disiapkan dan serahan kunci menjelang Aidilfitri tahun ini. Tiada alasan lagi kerana projek hanya berbaki kurang dua peratus untuk siap.

“Diharapkan juga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan kerajaan negeri membantu, termasuk proses berkaitan Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan segera.

“Pada masa sama, kami mahu pihak Perbadanan PR1MA Malaysia membayar Ganti Rugi Tertentu dan Ditetapkan (LAD) kelapan dengan segera seperti yang telah ditawarkan pada 3 Januari lalu.

“Ini bagi meringankan bebanan pembeli yang berhadapan dengan kos musim awal persekolahan, persiapan Ramadan serta Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Perbadanan PR1MA Malaysia, di sini, hari ini, bersama sebahagian pembeli lain.

Mereka berkumpul bagi perjumpaan bersama wakil PR1MA dengan dibantu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Labu Mohamad Hanifah Abu Baker sebagai perantara.

Hamidi yang mempunyai empat anak bersekolah dan seorang di pusat pengajian tinggi berkata, pembeli yang teraniaya sudah mengadu kepada banyak pihak termasuk Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan Ahli Parlimen Rembau yang juga Adun Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Malah pada 7 Julai 2019, kami bertemu Menteri KPKT ketika itu Datuk Zuraida Kamaruddin di tapak projek. Kami juga berusaha adakan pertemuan dengan Menteri KPKT Nga Kor Ming untuk mengadu hal sama.

“Kebanyakan kami berpendapatan sederhana, kira-kira 50 peratus kakitangan kerajaan. Bagi saya sendiri, dengan pendapatan isi rumah RM5,000 termasuk gaji isteri, bebanan membayar rumah sewa pada masa sama bayar penuh pinjaman rumah PR1MA ini memang menyesakkan.

“Lebih sedih ada pasangan pembeli yang bercerai-berai dan ada dalam kalangan kami pembeli pun sudah meninggal dunia,” katanya yang membayar sewa rumah RM800 sebulan dan menanggung pinjaman rumah itu sebanyak RM1,000 sebulan.

Sementara itu, Mohamad Hanifah yang juga Adun Labu berkata, beliau dimaklumkan oleh wakil PR1MA hari ini bahawa projek Bandar Ekar, Rantau dijangka diselesaikan pada suku pertama 2025, dengan penyerahan kunci kepada pembeli dijadualkan sebelum akhir Mac.

“PR1MA telah berjanji akan menyelesaikan isu penyerahan kunci sebelum akhir Mac 2025. Namun, masih terdapat tujuh masalah teknikal yang perlu diperbaiki sebelum penyerahan boleh dibuat.

“Selain itu, isu pembayaran bayaran ganti rugi kelewatan atau LAD turut dibincangkan dalam pertemuan berkenaan. PR1MA sebelum ini sudah mengeluarkan notis tawaran pembayaran pada Disember 2024 dan pembeli telah menyerahkan semula borang lengkap mengikut syarat yang ditetapkan.

“Bagaimanapun, pada Februari 2025, PR1MA mengeluarkan notis baharu menyatakan pembayaran hanya akan dibuat selepas kerja-kerja di residensi itu siap sepenuhnya. Saya tidak bersetuju dengan keputusan ini dan meminta PR1MA membuat pembayaran dalam tempoh seminggu kerana tawaran dibuat lebih awal,” katanya.

Menurutnya, jika PR1MA gagal memenuhi komitmen dipersetujui dalam perbincangan hari ini, beliau akan membawa isu berkenaan ke sidang Dun Negeri Sembilan dan mengemukakannya kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk tindakan lanjut di peringkat Dewan Rakyat.

“Kita tidak mahu projek PR1MA lain mengalami masalah yang sama seperti di Rantau ini. Malah, kita hairan bagaimana PR1MA boleh merancang fasa kedua projek, sedangkan fasa pertama pun masih belum diselesaikan selepas hampir tujuh tahun,” katanya.

Sementara itu, wakil PR1MA yang ditemui pada perbincangan itu memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Recent Posts

Scroll to Top