Derita pelbagai penyakit, pemuda nasihat jaga pemakanan

Derita pelbagai penyakit, pemuda nasihat jaga pemakanan

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Ujian kesihatan berterusan dihadapi Muhd Idzwan Syafiq Mohd Johari, 33, tidak mematahkan semangatnya dan terus kekal positif meneruskan kehidupannya.

Dia menderita gout kronik sejak tujuh tahun lalu dan kini disahkan mengalami kerosakan buah pinggang tahap lima sejak 2023.

Sebelum itu, Muhd Idzwan mengalami kecederaan tulang belakang akibat jatuh pada 2019 selain dijangkiti Covid-19 yang memberi kesan pada paru-paru seterusnya masalah ligamen lutut.

Kini, Muhd Idzwan Syafiq yang berasal dari Kok Lanas tidak mampu berjalan dan masa hanya dihabiskan di kerusi roda manakala rutin hariannya diuruskan ibunya, Che Piah Che Seman, 68.

Menurutnya, sejak kecil dia gemar makan makanan segera malah berhadapan masalah obesiti apabila berat mencecah 190 kilogram (kg).

“Asalnya saya hanya menghidap penyakit gout. Pada 2019 saya terjatuh tangga dan disebabkan berat badan impaknya menyebabkan tulang belakang cedera dan perlu menjalani empat pembedahan.

“Beberapa tahun saya hanya terlantar di katil sehinggalah dinasihatkan menjalani rawatan fisioterapi dan sebelum itu perlu membuat pemeriksaan bagi memastikan tiada penyakit lain,” katanya ketika ditemui ketika sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2025 di Pusat Penjagaan Kesihatan Neo Medicare di sini, hari ini.

Muhd Idzwan Syafiq berkata, hasil pemeriksaan yang dibuat mendapati dia menghidap penyakit buah pinggang dan sudah di tahap lima.

“Saya sudah jangka bakal berhadapan pelbagai komplikasi. Selain gemar makan makanan ringan ketika sihat dulu, pengambilan ubat tahan sakit yang kerap juga menyumbang kepada penyakit buah pinggang ini.

“Ada juga rasa kesal sebab tidak tahu semua perbuatan itu memberi kesan besar kepada kesihatan sendiri. Saya nasihatkan orang ramai supaya menjaga pemakanan supaya dapat mencegahnya lebih awal.

“Saya sudah enam kali rawatan dialisis selain merujuk ke pusat rawatan kesihatan ini. Jika dulu berat badan saya hampir 200 kg menyebabkan sukar untuk bergerak tapi saya bertekad kawal pemakanan dan menurunkan berat badan secara drastik.

“Kini hasil dari amalan pemakanan sihat, berat saya sudah menjadi 55kg dalam tempoh enam bulan, ia sekaligus membantu mengurangkan tahap buah pinggang ke tahap tiga,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top