Tiga beradik bangsa Cina teruja bangun seawal jam 5 pagi kerana tidak sabar untuk menyertai Majlis Khatan Perdana 2025 di Hospital Tanah Merah (HTM) pada Khamis.
Memetik laporan Sinar Harian, tiga beradik iaitu Tan Xavier, 12, Tan Xaden, 11, dan Tan Xarel, 8, tiba seawal jam 8 pagi di hospital berkenaan dan teruja menikmati pulut kuning serta mandi air semburan dari kenderaan bomba.
Menurut ibu mereka, Tan Bee Kam, 40, berkata, ketiga-tiga anaknya itu meminta untuk berkhatan tanpa paksaan kerana pernah mendengar cerita daripada rakan-rakan mereka beragama Islam.
Tiga beradik bangsa Cina teruja & tak takut berkhatan
Tambahnya, meskipun mereka berbangsa Cina, namun ramai dalam kalangan ahli keluarga sudah berkhatan atas tujuan menjaga kesihatan dan kebersihan.
Ujarnya, sejak tahun lalu, dia sudah bertanya mengenai kos berkhatan di beberapa klinik swasta dan dimaklumkan harganya sekitar RM180 seorang.
Bagaimanapun, mereka mengambil peluang berkhatan secara percuma selepas mengetahui mengenai program berkenaan dan secara tidak langsung dapat mengurangkan beban kewangan.
“Saya mendapat tahu daripada rakan sekampung yang memaklumkan mengenai program berkenaan dan terus mendaftarkan ketiga-tiga anak kami,” katanya.
Artikel lain: Tak takut kena ‘potong’, kanak2 Cina sertai majlis berkhatan di Kelantan
Program dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Husin dan turut dihadiri Pengarah Hospital Tanah Merah, Dr Mohd Nasir Abdul Kadir.
Ibu kepada empat anak itu juga akan memberi sokongan kepada anak-anaknya dalam tempoh berpantang dan memastikan pemakanan yang baik supaya cepat sembuh.
Tan Xavier ketika ditanya berkata, dia bersama dua adiknya memang hendak berkhatan untuk kebersihan diri daripada kuman sebab itu mereka menawarkan diri berkhatan walaupun berbangsa Cina.
“Rasa seronok sangat nak sunat (berkhatan) hari ini, ditambah pula ramai kawan-kawan sekaligus perasaan takut terus hilang,” katanya.
Sementara itu, Dr Zaini berkata, seramai 50 kanak-kanak menyertai program berkhatan dengan kerjasama Kelab Sukan Dan Kebajikan HTM.
Jelas Dr Zaini, berkhatan sangat dituntut dalam Islam dan sudah menjadi norma biasa dalam kalangan masyarakat termasuk bukan Muslim.
Untuk pengetahuan, berkhatan dapat mengurangkan kadar penyakit kelamin pada lelaki, melindungi individu daripada kanser zakar dan mengurangkan risiko kanser serviks bagi pasangan wanita dan mencegah balanitis dan balanoposthitis.
Sumber: Sinar Harian (Aswany Omar)