Denda RM3,000, tolong 'Along' pasang iklan

Denda RM3,000, tolong 'Along' pasang iklan

am@hmetro.com.my

Port Dickson: Dua lelaki didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, tadi, atas pertuduhan membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen memasang kain rentang berkaitan pinjaman berkenaan minggu lalu.

Majistret, Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, R Logeswaran, 25 dan V Rajasingam, 22, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Beliau turut mengarahkan tertuduh dihukum penjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda itu.

Bagaimanapun tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menjalankan kegiatan memasang kain rentang iklan berkaitan pinjaman wang berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan pada 18 Julai 2024 jam 2.40 petang di Jalan Pasar Pekan Lukut, Port Dickson.

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29AA(1) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 29AA(1)dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi dua tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh bagi memberi pengajaran kepadanya supaya tidak mengulanginya lagi.

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan(YBGK), Muhammad Adam Hasan merayu hukuman denda minimum atas alasan mereka masih bujang dan bekerja dengan pendapatan tidak seberapa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top