Seorang datuk berusia 63 tahun, lemas ketika cuba menyelamatkan dua cucunya yang dihanyutkan ombak di Pantai Irama, Bachok pagi tadi.
Kejadian yang berlaku sekitar 9.30 pagi itu bermula, selepas mangsa, Rosli Yusof dikatakan bersama cucunya turun ke pantai untuk bermain air di kawasan hujung batu di pantai berkenaan.
Cucu berjaya diselamatkan, datuk meninggal dunia
![](https://ohmedia.my/wp-content/uploads/2025/02/ohmedia-image-62.png)
Menerusi laporan daripada Harian Metro, Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman berkata, mangsa merupakan seorang pesara kerajaan yang cuba bertindak pantas menyelamatkan dua cucunya yang secara tiba-tiba dihanyutkan ombak ke kawasan lebih dalam.
Isteri dan anak mangsa yang berada di kedai berhampiran cuba membantu namun anaknya turut ditarik ombak. Bagaimanapun, dua cucu dan anak mangsa berjaya diselamatkan orang awam dan anggota Agensi Pertahanan Awam (APM) yang berada di tempat kejadian.-Katanya
Mohd Azrie juga memaklumkan bahawa kesemua mangsa berjaya dibawa ke daratan, namun Rosli yang tidak sedarkan diri diberikan bantuan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Daerah Bachok.
Sementara itu, anak dan dua cucunya dihantar ke Hospital Bachok untuk rawatan lanjut, manakala jenazah dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian bagi proses bedah siasat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar mengelakkan aktiviti mandi-manda di pantai kerana keadaan cuaca masih dalam musim monsun timur laut, dengan angin kencang serta ombak besar yang boleh mengundang bahaya.
![Demi Selamatkan Cucu, Datuk Lemas Ditarik Ombak Demi Selamatkan Cucu, Datuk Lemas Ditarik Ombak](https://ohmedia.my/wp-content/uploads/2025/02/ohmedia-copy-of-untitled-design-89-1000x600.png)