
DeepSeek kini dilihat sebagai pesaing aplikasi AI termasuk ChatGPT. – Foto Agensi
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang cuba ‘berlembut’ dengan China di bawah pentadbiran 2.0 beliau mula berasa tergugat dengan pesaingnya itu.
Menerusi kenyataan pada Isnin, Trump menzahirkan kebimbangan terhadap populariti yang semakin melonjak aplikasi kecerdasan buatan (AI) dihasilkan China, DeepSeek yang disifatkan sebagai ‘penggera’ buat syarikat teknologi di Washington.
Trump berkata, beliau masih berharap firma teknologi tempatan akan mendominasi AI yang kini berdepan saingan aplikasi kos rendah buatan Beijing, DeepSeek dan menguasai carta muat turun di App Store pada akhir minggu lalu.
DeepSeek telah mencetuskan panik termasuk dalam pasaran saham kerana ia menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam ujian berbanding model chatbot keluaran Meta dan OpenAI.
“Model kos rendah adalah satu perkembangan yang positif buat AI secara keseluruhan. Anda tidak perlu berbelanja besar sehingga berbilion dolar untuk menghasilkannya seperti ciptaan sebelum ini,” katanya.
DeepSeek merupakan aplikasi terbaharu milik China yang semakin popular di AS sejak minggu lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Open AI, Sam Altman menyifatkan model RI DeepSeek sebagai mengagumkan.
“Kami akan terus menyediakan model AI lebih baik dan terkini untuk menghadapi pesaing baharu ini,” jelasnya. – Agensi
Info
>Model AI kos rendah, DeepSeek meraih perhatian global pada bulan lalu apabila ia mendedahkan model DeepSeek-V3 yang hanya menelan kos kurang daripada AS$6 juta (RM26.2 juta) dan menggunakan cip berkeupayaan rendah, Nvidia H800.
>DeepSeek R1 dilancarkan pada minggu lalu adalah 20 hingga 50 kali ganda lebih berpatutan untuk digunakan berbanding model o1 dihasilkan OpenAI, namun bergantung kepada tugas yang diberikan.
>Kemunculan DeepSeek telah menimbulkan keraguan tentang keputusan beberapa syarikat teknologi AS yang menjanjikan berbilion dolar untuk pelaburan AI. Enjin AI, Nvidia berdepan kerugian AS$593 bilion (RM2.35 trilion) dalam nilai pasaran pada Isnin, sekali gus menjadi kerugian sehari terbesar untuk mana-mana syarikat di Wall Street.