lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan konservasi laut, diberi pengiktirafan atas dedikasi mereka dalam usaha pemuliharaan ekosistem marin di Malaysia.
Majlis Penganugerahan Organisasi Konservasi, Anugerah Misi Biru sempena Pameran Selaman, Resort & Pelancongan (DRT) 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini turut disokong Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) DOF, Yeo Moi Eim berkata, NGO mempunyai peranan penting dalam menjalankan promosi advokasi, meningkatkan kesedaran masyarakat serta memantau ekosistem marin secara berterusan.
“DOF menghargai dan menyokong usaha NGO dalam memperkukuh perlindungan biodiversiti marin negara.
“Pengiktirafan ini adalah tanda penghargaan kepada mereka yang komited dalam pemuliharaan biodiversiti marin untuk generasi akan datang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Tujuh NGO yang menerima pengiktirafan adalah Diveheart Malaysia, Perhentian Marine Research Station, Sea Turtle Research Unit (SEATRU), Reef Check, Save Our Seahorses (SOS) Malaysia, Bubble Turtle Conservation dan Shark Saver Malaysia.
Moi Eim berkata, sebagai agensi utama dalam pemeliharaan sumber marin, DOF terus melaksanakan pelbagai inisiatif konservasi seperti pembangunan tukun tiruan, pelepasan penyu, restorasi terumbu karang, serta pelepasan benih ikan bagi mengekalkan keseimbangan ekosistem.
“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sebanyak 281 tukun tiruan sudah dilabuhkan dengan kos RM8.58 juta.
“Bagi RMK-13, sebanyak 10 tapak tukun tiruan dicadangkan untuk dilabuhkan setiap tahun.
“Kajian oleh Institut Sains Marin Asia Tenggara (ISMAT) mendapati biojisim ikan di kawasan tukun tiruan meningkat antara 129 kilogram (kg) hingga 6,047 kg, membuktikan keberkesanannya dalam menyokong ekosistem marin,” katanya.
Beliau berkata, DOF turut mempergiatkan program pelepasan anak penyu, dengan kejayaan melepaskan sebanyak 253,499 ekor anak penyu ke laut pada tahun lalu.
“Selain itu, peraturan larangan pengambilan telur penyu serta penggunaan alat penyisih penyu (TED) dalam operasi perikanan pukat tunda musim tengkujuh terus diperkuatkan untuk mengurangkan risiko spesies terancam terperangkap dalam aktiviti perikanan.
“DOF menerbitkan enam garis panduan konservasi meliputi pemulihan terumbu karang, pemantauan tapak selam, serta tindakan respons terhadap kelunturan terumbu.
“Keberkesanan program restorasi terumbu karang juga terbukti berjaya apabila 10 peratus kawasan terumbu yang terjejas akibat perubahan iklim dan pencemaran berjaya dipulihkan,” katanya.
Sementara itu, Presiden DRT, Jason Chong berkata, tujuh NGO yang diberi pengiktirafan terbabit dipilih berdasarkan impak positif hasil kerja keras mereka terhadap ekosistem marin dan komuniti.
Beliau berkata, DRT 2025 yang berlangsung selama tiga hari sehingga esok, menjadi platform penting dalam menghimpunkan pakar industri, penyelam, penggiat ekopelancongan, serta pencinta alam sekitar.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 2009, DRT SHOW berkembang menjadi pameran menyelam terbesar di rantau Asia Pasifik, dengan penyertaan pelbagai organisasi dari seluruh dunia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd