Dedak mahal, harga lembu korban dijangka meningkat

Dedak mahal, harga lembu korban dijangka meningkat

SEREMBAN: Peningkatan berterusan harga makanan ternakan dan dedak bakal menyebabkan umat Islam yang mahu melakukan ibadat korban tahun ini perlu berdepan kenaikan harga ternakan seperti lembu dan kambing.

Beberapa pengusaha ternakan di daerah ini memaklumkan, peningkatan harga lembu korban sekitar 10 peratus berbanding sebelum ini memang tidak dapat dielakkan kerana kenaikan harga dedak menyebabkan kos penternakan ditanggung mereka turut meningkat.

Pengurus Pemasaran KRS Agrotech Sdn. Bhd., Mohammad Yusoff Khalili Mohammad Ssunaibari, 34, berkata, harga lembu korban tahun ini boleh mencecah sehingga RM5,250 seekor berbanding RM4,300 pada tahun lalu.

“Kami terpaksa menaikkan harga haiwan korban tahun ini sebanyak 10 peratus. Ia berikutan ada dedak yang digunakan mengalami kenaikan harga iaitu sebelum ini dijual pada harga RM55.50 bagi seguni 50 kilogram kepada RM64.

“Seekor lembu korban pada tahun ini dijangka dijual pada harga RM5,250 dan kambing seekor pada harga RM1,200 berbanding RM900 ke RM1,000 sebelum ini berdasarkan kepada saiz biasa,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Seorang lagi penternak lembu yang juga pemilik Medina Farm di Mambau dekat sini, Mohd. Faidzul Mohamad Noh, 40, mengakui peningkatan harga dedak sangat membebankan golongan penternak sepertinya.

“Kami tidak tertanggung lagi harga dedak yang melambung. Jika tahun lepas seguni dedak (50 kilogram) boleh diperoleh sekitar RM55 tetapi sejak Ramadan lalu ia mencecah sehingga RM80, ini benar-benar membebankan kami.

“Tahun lepas untuk lembu korban, saya boleh jual pada harga RM4,500 seekor namun pada tahun ini ia akan meningkat bermula pada harga RM4,800 seekor.

“Bagaimanapun kami yakin mampu menyediakan bekalan ternakan korban kerana permintaan tetap tinggi, cuma kami berharap pembeli bersedia dan memahami kenaikan harga bagi musim korban tahun ini,” katanya.

Katanya, nilai matawang Ringgit Malaysia yang tidak mengukuh juga menyebabkan lembu korban diimport dari Thailand berlaku lonjakan harga. – UTUSAN

 

Scroll to Top