Sydney: Alex De Minaur, bintang tenis Australia berusia 25 tahun, sedang bersiap untuk musim 2025 yang lebih gemilang selepas mencatatkan pencapaian tertinggi sepanjang kariernya tahun lalu.
Menduduki ranking dunia keenam pada 2024, De Minaur memenangi dua gelaran, mara ke suku akhir tiga daripada empat Grand Slam, dan melayakkan diri ke Jelajah Akhir ATP buat kali pertama.
“Saya melihat 2024 sebagai tahun pecah rekod, 100 peratus,” kata De Minaur, kini di kedudukan kesembilan dunia, kepada wartawan.
Namun, dia tidak berpuas hati dan yakin mampu mencapai lebih banyak kejayaan.
“Saya mahu lebih. Saya tidak pernah puas, dan itulah sebabnya saya terus bekerja keras setiap hari,” tambahnya.
Musim De Minaur akan bermula di Piala United minggu ini, sebagai persediaan menjelang Terbuka Australia pada 12 Januari.
Australia, di bawah kapten Lleyton Hewitt, akan berdepan Argentina hujung minggu ini di Arena Ken Rosewall, dengan De Minaur dijadualkan menentang pemain nombor 39 dunia, Tomas Etcheverry.
Piala United turut menyaksikan kemungkinan pertembungan istimewa apabila De Minaur dijangka bermain acara beregu campuran menentang teman wanitanya, Katie Boulter, yang mewakili Britain.
Kejohanan ini membabitkan 18 pasukan, dengan format perlawanan terdiri daripada perseorangan lelaki, perseorangan wanita, dan beregu campuran.
© New Straits Times Press (M) Bhd