De Ligt kembali perkuat Belanda

De Ligt kembali perkuat Belanda

Amsterdam: Pertahanan Matthijs de Ligt akan diberi peluang baharu bersama pasukan kebangsaan Belanda, selepas diketepikan pada Euro 2024, apabila Belanda memulakan kempen Liga Negara-Negara Uefa menentang Bosnia & Herzegovina, kata jurulatih Ronald Koeman.

Pemain baharu Manchester United itu tidak bermain dalam kejohanan di Jerman pada Jun-Julai, tetapi kelihatan berkemungkinan akan memulakan perlawanan bersama Virgil van Dijk di pertahanan tengah Ahad ini selepas Stefan de Vrij diketepikan dari skuad.

“Apabila Matthijs menghubungi saya mengenai kemungkinan perpindahannya ke Manchester United, kami juga berbincang berkaitan Euro,” kata Koeman dalam sidang akhbar.

“Saya tidak memberikan mesej yang paling baik kepada Matthijs menjelang Euro, saya memilih Stefan de Vrij. Sekarang giliran Matthijs untuk membuktikannya kerana terdapat pemain lain yang boleh bermain di posisi itu. Jelas bahawa saya ingin melihat Matthijs mencapai tahap yang dia miliki sebelum ini.”

De Ligt, yang kini berusia 25 tahun, baru berusia 17 tahun ketika membuat penampilan pertama untuk Belanda pada tahun 2017 dan memperoleh 45 caps untuk negara, kebanyakannya di bawah Koeman ketika beliau memegang jawatan sebagai jurulatih pasukan kebangsaan dari awal 2018 hingga akhir 2019.

Tetapi sejak Piala Dunia 2022 di Qatar, dia hanya bermain dalam lima perlawanan antarabangsa kerana karier kelabnya bergelut di Bayern Munich.

© New Straits Times Press (M) Bhd