De Bruyne wira kebangkitan City, bantu benam Palace 5-2

De Bruyne wira kebangkitan City, bantu benam Palace 5-2

Manchester: Kevin De Bruyne membuktikan statusnya sebagai maestro tengah Manchester City apabila mengetuai kebangkitan luar biasa kelab itu daripada ketinggalan 0-2 untuk menewaskan Crystal Palace 5-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.

Palace bermula garang apabila Eberechi Eze dan Chris Richards masing-masing menjaringkan gol dalam tempoh 21 minit pertama untuk memberikan kelebihan awal buat tuan rumah.

Namun De Bruyne memulakan kebangkitan City menerusi sepakan percuma cantik dari jarak 22 meter pada minit ke-33 sebelum menghantar umpanan lintang yang disudahkan Omar Marmoush hanya tiga minit kemudian bagi menyamakan kedudukan.

Bersambung babak kedua, kapten Belgium itu sekali lagi memainkan peranan penting apabila melakukan bantuan gol kepada Mateo Kovacic hanya 80 saat selepas sepak mula, menjadikan kedudukan 3-2 buat pelawat.

Gol keempat City hadir menerusi James McAtee hasil umpanan jauh dari penjaga gol Ederson, sebelum Nico O’Reilly melengkapkan malam gemilang skuad kendalian Pep Guardiola itu dengan jaringan pada minit ke-79.

Kemenangan itu menyaksikan City naik ke tangga keempat liga secara provisional dengan kelebihan dua mata mengatasi Chelsea, yang bagaimanapun masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.

City kini kelihatan kembali ke landasan terbaik dalam misi mempertahankan kejuaraan liga, dengan De Bruyne sekali lagi membuktikan betapa pentingnya kehadirannya dalam jentera serangan pasukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top