Manchester: Kevin De Bruyne menjadi inspirasi di sebalik kemenangan meyakinkan 5-2 Manchester City ke atas Crystal Palace apabila pemain Belgium itu mengakui dia mahu memastikannya pasukannya mara ke Liga Juara-Juara (UCL) sebelum mengucapkan selamat tinggal.
Aksi cemerlang De Bruyne mencetus kebangkitan City selepas ketinggalan dua gol untuk menewaskan Palace di Stadium Etihad, hari ini.
Pemain tengah berusia 33 tahun itu, yang menyertai City pada 2015, beraksi dalam perlawanan sulung di laman sendiri sejak pengumuman bahawa dia akan meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini.
Sepakan percuma menarik daripada De Bruyne memberikan harapan buat City pada separuh masa pertama selepas Eberechi Eze dan Chris Richards meledak gol buat Palace dalam 21 minit pertama.
Omar Marmoush menyamakan kedudukan sebelum rehat dan De Bruyne kemudian mencipta bantuan gol buat Mateo Kovacic yang meletakkan City di hadapan pada minit ke-47.
Dua pemain muda, James McAtee dan Nico O’Reilly, turut menyumbang jaringan untuk melengkapkan kebangkitan City yang kini menduduki tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam usaha memburu kedudukan lima teratas.
“Saya rasa penting untuk menjaringkan gol secepat mungkin dan mengubah rentak perlawanan,” kata De Bruyne.
“Saya tak rasa kami bermain teruk, tapi keputusan ketika itu memang tak bagus langsung. Kami bangkit dari situ.
“Saya mahu meninggalkan pasukan ini dengan satu tempat ke Liga Juara-Juara kerana mereka berhak beraksi di sana.
“Kami sudah berada dalam Liga Juara-Juara sekian lama, jadi saya harap kami dapat melakukannya lagi untuk musim depan,” katanya lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd