hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selepas pelbagai peringatan dan peluang diberikan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan tegas terhadap penghutang tegar cukai taksiran dalam Operasi Sita membabitkan 27 premis dengan jumlah hutang melebihi RM600,000.
DBKL dalam kenyataan berkata, operasi itu dilakukan di sekitar kawasan Bandar Tun Razak, Rabu lalu.
Menurutnya, pihaknya menyita barangan mengikut Seksyen 148 Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Jika masih gagal, langkah seterusnya adalah menahan dan menjual pegangan pihak terbabit (Seksyen 151). Semua kos operasi pula akan ditanggung oleh pemilik atau penyewa yang liat membayar hutang.
“Jangan susahkan diri sendiri, bertanggungjawab membayar cukai taksiran ini demi kebaikan bersama. Bila ditangguh makin banyak dan semakin membebankan,” katanya.
Katanya, mereka yang terbabit turut diingatkan untuk mematuhi pembayaran cukai taksiran dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang masih liat melunaskan kewajipan itu selain menghargai usaha mereka yang patuhi membayar cukai berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd