KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan untuk menyelamatkan 10,000 kilogram (kg) lebihan makanan menerusi Kempen Sifar Sisa@Bazar Ramadan sebagai usaha mengurangkan pembaziran serta membantu golongan memerlukan.
DBKL menerusi kenyataan memaklumkan, kempen itu dilaksanakan dengan kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) melalui Program MySaveFood.
“Menerusi program ini, DBKL menyasarkan sebanyak 10,000 kg lebihan makanan dapat diselamatkan daripada dibazirkan dengan mengedarkannya kepada mereka yang memerlukan.
“Selain membantu golongan kurang berkemampuan, inisiatif ini juga dapat mengurangkan kos pengurusan sisa serta mengelakkan penghantaran sisa makanan ke tapak pelupusan,” katanya.
Sehingga 12 Mac lalu, sebanyak 4,869.22 kg lebihan makanan bernilai RM107,190 telah berjaya dikumpulkan dan diagihkan kepada penerima yang memerlukan.
Program yang berlangsung dari 5 hingga 16 Mac itu melibatkan 12 lokasi Bazar Ramadan terpilih sekitar ibu negara, antaranya Bazar Jalan Wangsa Delima di Wangsa Maju, Bazar Sri Rampai, Bazar Wangsa Maju Jalan 3/27A Seksyen 1 serta Bazar TLK Taman Tasik Permaisuri.
Selain itu, Bazar Danau Kota Jalan 3A/6, 4A/6 dan 5A/6 di Taman Setapak Indah serta Bazar Jalan 1/76C dan 3/76D di Desa Pandan turut menjadi lokasi pengumpulan lebihan makanan.
Menurut DBKL, penglibatan sukarelawan institut pengajian tinggi di bawah GEMA memainkan peranan penting dalam menjayakan program tersebut.
“Mereka bukan sahaja membantu mengagihkan makanan, tetapi juga memberi kesedaran kepada golongan muda mengenai tanggungjawab sosial serta kepentingan mengurangkan pembaziran makanan,” katanya. – UTUSAN