Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi jaminan bahawa tiada sebarang aktiviti perobohan akan dilakukan terhadap struktur Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak berhampiran Jalan Masjid India.
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, kuil tersebut boleh terus beroperasi seperti biasa sehingga proses pemindahan selesai sepenuhnya.
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman
“Proses pemindahan akan dilakukan secara telus dan adil dengan perbincangan bersama pihak berkepentingan bagi memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa DBKL komited untuk menjaga kebebasan beragama seperti yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak akan terburu-buru mengambil tindakan tanpa rundingan.
Sementara itu, kerajaan turut mengambil maklum mengenai cadangan pembinaan sebuah masjid di atas tanah milik syarikat swasta di Jalan Masjid India. Projek itu merupakan inisiatif syarikat berkenaan yang juga pemilik sah tanah tersebut.
DBKL menegaskan bahawa sebarang tindakan berkaitan pemindahan kuil akan dibuat dengan penuh pertimbangan bagi menghormati semua pihak yang terlibat.
Artikel lain: Galak kesedaran, Anugerah Tandas Terbaik jadi acara tahunan kebangsaan – Kor Ming
Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman
“(Cadangan pembinaan masjid) bukan daripada kerajaan. DBKL selaku pihak yang diamanahkan oleh kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk tampil membantu, mencari jalan terbaik buat semua pihak terlibat dan secara tidak langsung mengelakkan diskriminasi terhadap mana-mana kaum.
“DBKL telah mengenal pasti lokasi baharu pemindahan rumah ibadat terlibat bagi memastikan penganut Hindu dapat terus menjalankan aktiviti-aktiviti keagamaan mereka dan selesa dan harmoni,” jelas beliau lagi.
Sumber: Astro Awani