DBKL diberi 4 bulan laksana pemutihan peniaga tanpa lesen – Dr Zaliha

DBKL diberi 4 bulan laksana pemutihan peniaga tanpa lesen – Dr Zaliha

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diberi tempoh empat bulan untuk melaksanakan pemutihan menyeluruh peniaga tidak berlesen atau dikenali sebagai peniaga ‘rambo’ di ibu kota.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata ia merupakan antara pendekatan untuk melestarikan peniaga, khususnya peniaga kecil-kecilan dan penjaja untuk mendapatkan lesen.

“Kita (DBKL) akan benarkan hingga Ogos ini untuk semua peniaga yang tiada lesen tampil dan berurusan dengan kita untuk mendaftar serta mendapatkan lesen berniaga di sekitar Kuala Lumpur. Kita ada pelbagai jenis lesen sebenarnya, bergantung kepada keperluan masing-masing, insya-Allah kita akan membantu dari sudut itu.

“Kena faham, tidak semua kita boleh berikan lesen, ada pertimbangannya. DBKL perlu melihat kepada keseluruhan ekosistem penjaja dan cadangkan penyelesaian yang lebih strategik, bukan hanya berasaskan status quo sahaja,” katanya selepas program Semarak Aidilfitri di Dataran DBKL di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata pada masa ini pihaknya tidak mempunyai jumlah peniaga tidak berlesen, namun berharap langkah pemutihan itu dapat memberikan data dan pemetaan dalam isu itu.

Beliau berkata walaupun seseorang penjaja itu mendapat lesen, mereka perlu mematuhi peraturan dan tidak bermakna mereka bebas berniaga di mana-mana kawasan sehingga membahayakan keselamatan orang lain.

“Contohnya, di kawasan terbuka dan ramai orang, kita tidak boleh benarkan menjual bahan-bahan yang mungkin mudah meletup seperti belon yang ada hidrogen. Ia sangat bahaya,” katanya.

Mengulas mengenai trend trak makanan dan gerai di kaki lima, beliau berkata pihaknya akan memperhalusi prosedur seperti memastikan ada ruang pejalan kaki, mewartakan sesuatu kawasan untuk tujuan berkenaan atau dibenarkan beroperasi pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Beliau turut meminta peniaga dan orang ramai untuk menjaga adab dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa ketika menjalankan tugas mereka.

Terdahulu, Dr Zaliha dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif menyampaikan sumbangan zakat berupa wang tunai RM200 kepada 500 orang asnaf termasuk anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya dan mereka yang kurang kemampuan, manakala 500 lagi dijangka menerima bantuan itu secara berperingkat.

Bantuan sejumlah RM200,000 itu adalah sumbangan wang zakat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top