ajohari@bh.com.my
Putrajaya: Seorang bekas peguam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi sangat mendesak supaya perjanjian usaha sama syarikat itu dengan PetroSaudi International Ltd (PSI) boleh dimuktamadkan.
Bekas rakan kongsi firma guaman Wong & Partners, Brian Chia Hock Gee dalam keterangan beliau, berkata ia bagi membolehkan syarikat pelaburan strategik negara itu menandatangani perjanjian berkenaan dengan PSI pada 28 September 2009.
Brian Chia berkata, firma guaman itu memberikan khidmat nasihat kepada 1MDB pada 16 September 2009 bagi tujuan memuktamadkan perjanjian usaha sama terbabit dengan nilai AS$1 bilion.
Ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib sama ada beliau mengetahui Shahrol Azral mengambil ‘arahan’ daripada orang atasan, saksi itu menjawab, beliau tidak tahu.
Katanya, beliau juga tidak tahu sama ada Shahrol Azral adalah pembuat keputusan keputusan akhir dalam transaksi berkenaan.
Saksi itu berkata, semua pengurusan dana, termasuk urusan berkaitan Bank Negara Malaysia (BNM), dilakukan oleh Shahrol Azral dan bekas Pengarah Eksekutif, Casey Tang Keng Chee.
“Wong & Partners tidak mempunyai apa-apa peranan berhubung pembayaran itu. Kami tidak mengendalikan sebarang dana termasuk urusan dengan bank yang berkaitan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Amalan Korporat dan Sekuriti Komersial berkata, firma guaman terbabit tidak memainkan peranan dalam pemindahan AS$1 bilion untuk usaha sama berkenaan.
Katanya, beliau hanya dimaklumkan sejumlah AS$700 juta sudah dihantar ke akaun nominee PSI dan baki AS$300 juta didepositkan ke dalam akaun usaha sama 1MDB-PSI.
Saksi itu juga mengesahkan beliau menulis memorandum yang mengetengahkan risiko undang-undang dalam memasuki usaha sama berkenaan.
“Saya memberi nasihat saya dan mereka memutuskan untuk meneruskan usaha sama ini atas dasar ia adalah pelaburan antara kerajaan dengan kerajaan (G2G).
“Ia bukan bagi saya untuk mempersoalkan (usaha sama ini)… saya sudah memberikan khidmat nasihat dan memberi amaran mengenai risikonya,” katanya.
Berdasarkan kepada usaha sama itu, 1MDB melakukan pelaburan ekuiti sebanyak AS$1 bilion manakala PSI menyuntik aset bernilai AS$1.5 bilion.
Bagaimanapun, penghantaran dana dibahagikan kepada dua atas arahan 1MDB di mana hanya AS$300 juta dipindahkan ke syarikat berkaitan usaha sama, manakala AS$700 juta berakhir dalam syarikat Good Star Ltd yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low).
Dalam keterangan sebelum ini, Shahrol Azral memberitahu mahkamah, perjanjian usaha sama itu meninggalkan hutang berjumlah AS$700 juta kepada 1MDB yang berpunca daripada pindahan dana yang dibuat 1MDB kepada Good Star.
Shahrol Azral menjelaskan hutang itu merujuk kepada perjanjian pinjaman ditandatangani 1MDB-PSI Ltd pada 25 September 2009 di mana ketika perjanjian, pengesahan syarikat usaha sama belum dimeterai.
Katanya, pinjaman AS$700 juta itu dibuat antara 1MDB-PSI Ltd iaitu sebagai peminjam manakala syarikat samaran, PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd sebagai pemiutang.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd