Datuk rugi RM26.6 juta ditipu skim pelaburan kripto

Datuk rugi RM26.6 juta ditipu skim pelaburan kripto

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang lelaki bergelar Datuk kerugian RM26.6 juta selepas menjadi mangsa kepada skim pelaburan matawang kripto.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, mangsa yang juga pengarah syarikat pembinaan menyatakan melihat iklan pelaburan berkenaan selepas membuat carian melalui google.

“Mangsa kemudiannya menekan pautan yang disertakan dan dimasukkan ke dalam kumpulan whatsapp (12 Gatering Stocks Into Gold).

” Mangsa diajar berkenaan pelaburan oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya Professor Stanley Lim.

“Terpedaya dengan janji-janji keuntungan yang ditawarkan, mangsa kemudian memuat turun aplikasi UVKXE bagi memulakan pelaburan,” katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini, hari ini.

Ramli berkata, bermula 17 Oktober hingga 24 Disember tahun lalu, mangsa membuat sembilan pindahan wang ke sembilan akaun bank yang didaftarkan atas nama pelbagai syarikat yang berbeza.

“Jumlah keseluruhan pindahan yang dilakukan adalah bernilai RM26.6 juta. Melalui semakannya pada Januari lalu, mangsa mendapati akaun pelaburannya mencatatkan keuntungan sehingga USDT 269.247 juta (RM1.2 bilion).

“Bagaimanapun, apabila ingin mengeluarkan wang keuntungan berkenaan, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM5.56 juta atas alasan cukai,” katanya.

Menurutnya, untuk rekod, lima akaun bank milik syarikat yang digunakan dalam kes ini turut disiasat bersabit 38 kes penipuan yang lain.

“Setakat ini, sejumlah 46 laporan polis diterima berkaitan skim penipuan pelaburan UVKXE dengan nilai kerugian keseluruhan RM61.4 juta.

“Amat mendukacitakan kerana masih ada individu yang menjadi mangsa skim ini walaupun telah dua kali kenyataan dibuat berkenaan skim ini, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top