'Datuk' dalam industri hiburan bayar cukai RM12 juta lepas siasatan SPRM

'Datuk' dalam industri hiburan bayar cukai RM12 juta lepas siasatan SPRM

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Seorang ahli perniagaan terkenal dalam industri hiburan bergelar Datuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM4 juta bagi cukai yang tidak dibayar.

Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata bayaran itu adalah tambahan kepada kompaun berjumlah RM8 juta yang dikenakan ke atasnya.

Azam turut mengesahkan lelaki itu sudah membayar keseluruhan RM12 juta berkenaan berhubung siasatan kes pengelakan cukai

Pada 24 Julai 2023, ahli perniagaan itu turut disiasat berhubung kes lain yang didakwa berkaitan pengubahan wang haram, rasuah dan penyeludupan barangan haram.

Pihak berkuasa merampas wang tunai berjumlah kira-kira RM38 juta, 200 kilogram (kg) emas bernilai kira-kira RM60 juta dan 17 kereta mewah, termasuk model daripada Maserati, Ferrari dan Mercedes-Benz.

Pada 25 Julai, terdapat laporan yang melaporkan SPRM juga berhasrat untuk menyoal seorang bekas menteri Perikatan Nasional bagi membantu siasatan.

Pada 27 Julai, ‘Datuk’ itu dibebaskan dengan ikat jamin, berdasarkan laporan yang memetik sumber yang rapat dengan SPRM.

Dalam catatan di Instagram pada 28 Julai, ahli perniagaan itu memaklumkan beliau bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.

Ditanya sama ada ahli perniagaan itu masih akan disiasat di bawah kes lain selain pengelakan cukai, Azam berkata: ‘Tidak’.

Ia antara kes yang dilaporkan NST hari ini sebagai salah satu daripada tiga siasatan oleh SPRM yang disifatkan sebagai “kes panas yang menjadi sejuk” kerana tidak ada perkembangan terkini.

Terdahulu, Azam menjelaskan SPRM sentiasa terbuka untuk menjawab soalan berkaitan perkembangan terbaru kes dan tidak mudah untuk menggugurkan atau mengklasifikasikan kes sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top