DASAR ekonomi yang dilaksanakan ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dahulu, atau lebih popular dengan istilah Najibnomics terbukti berkesan dalam memelihara kesejahteraan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan penduduk luar bandar.
Sepanjang tempoh pentadbirannya mulai April 2009 hingga Mei 2018, Najib tidak hanya memberi tumpuan terhadap projek-projek mega sahaja.
Beliau telah memperkenalkan banyak inisiatif yang disasarkan untuk golongan B40 seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M), Klinik 1Malaysia (K1M), Pusat Internet 1Malaysia dan Menu Rakyat 1Malaysia.
Malah keberkesanan inisiatif-inisiatif berteraskan kebajikan rakyat tersebut seolah-olah diperakui oleh empat pentadbiran selepas era Najib apabila banyak yang diteruskan pelaksanaannya sehingga kini.
Konsep BR1M yang dahulu pernah diperlekehkan sebagai ‘dedak’ masih kekal bertahan walaupun telah dijenamakan semula sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Begitu juga dengan K1M yang kini dikenali sebagai Klinik Komuniti selain Pusat Internet 1Malaysia yang diubah nama menjadi Pusat Internet Komuniti serta Menu Rakyat 1Malaysia yang ditukar menjadi Menu Rahmah.
Baru-baru ini, timbul ura-ura berhubung kemungkinan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan semasa era Najib akan dilaksanakan semula.
GST yang berkesan bagi menangani ketirisan dalam sistem percukaian negara khususnya yang melibatkan sektor perniagaan telah dimansuhkan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ketujuh.
Melalui sistem percukaian yang lebih telus dan cekap itu, kerajaan berjaya mengutip hasil GST sebanyak RM27.1 bilion pada 2015 diikuti RM41.2 bilion pada 2016 dan RM44 bilion pada 2017.
Peningkatan hasil yang diperoleh kerajaan seterusnya disalurkan semula kepada rakyat memerlukan melalui pelbagai insentif di bawah jenama 1Malaysia.
Dasar Najibnomics juga berjaya memastikan bekalan makanan terutamanya beras sentiasa terjamin dan dijual pada harga yang mampu dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah.
Melalui Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) dan Jimat Belanja Rakyat (JBR) yang diilhamkan Najib, rakyat dapat membeli sekampit beras super 10 kilogram pada harga RM10 sahaja.
Selain itu, ayam dijual pada harga RM5 seekor, daging lembu segar RM15 sekilogram manakala 30 biji telur dan sepeket Milo 400 gram masing-masing berharga RM5.
Selepas lebih lima tahun Najib tidak lagi menjadi Perdana Menteri, harga makanan dan barangan keperluan asas yang lain melambung tinggi malah negara pernah berdepan krisis kekurangan bekalan telur, beras dan gula.
Tidak dinafikan, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mempunyai formula tersendiri bagi merangka dasar ekonomi negara dan menangani krisis yang amat menghimpit rakyat ketika ini.
Namun, setakat ini, keberkesanan formula Rafizi bagi meredakan keluh-kesah rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barangan serta krisis bekalan bahan makanan masih belum dapat dilihat.
Tidak salah jika Kerajaan Perpaduan mengadaptasi dasar ‘Najibnomics’ untuk mengeluarkan negara daripada kemelut ekonomi yang sedang dihadapi.
Lebih baik lagi jika Najib diberi peranan selaku penasihat ekonomi kerajaan setelah beliau dibebaskan daripada penjara kelak. – MalaysiaGazette