Banjir yang sedang melanda di beberapa negeri ketika ini dilihat agak buruk kerana air naik mendadak hingga ramai yang tidak sempat menyelamatkan harta benda.
Bukan itu sahaja, mangsa-mangsa juga terperangkap setelah air naik sehingga melepasi tahap bahaya. Operasi menyelamat turut mengalami kesukaran terutamanya di sekitar Selangor susulan bekalan elektrik terputus dan kesukaran bot memasuki kawasan perumahan.
Namun begitu, inisiatif daripada badan bukan kerajaan (NGO), orang awam dan pihak berkuasa sememangnya harus dipuji kerana sama-sama berganding bahu memberi bantuan.
Paling mendapat perhatian adalah seorang lelaki yang dikenali sebagai Abang Azwan yang sanggup datang dari Melaka bersama Perodua Viva yang membawa bot persendirian untuk tampil sama-sama membantu mangsa banjir.
Perkongsian yang dibuat oleh satu akaun Twitter dikenali sebagai @KulupKudin telah tular apabila memuat naik gambar Abang Azwan yang gigih membawa botnya dari satu kawasan ke kawasan lain yang memerlukan bantuan.
Abang Azwan ni datang dari Melaka bawak bot dia turun bagi bantuan dekat Shah Alam pagi tadi lepastu dia turun backup Puchong, and sekarang dia nak ke Sri Muda pulak untuk bantu mangsa disana.#unsunghero #rakyatjagarakyat pic.twitter.com/S2G54WA6CH
— Cheng 🏴 (@KulupKudin) December 19, 2021
Difahamkan, dia telah ke kawasan-kawasan terjejas seperti di Shah Alam, Puchong dan seterusnya ke Sri Muda untuk sama-sama memberikan bantuan menyelamat.
Terkesan dengan kebaikkan Abang Azwan, ramai pihak yang mahu menghulurkan sumbangan kepadanya untuk minyak kereta, petrol atau apa-apa yang mampu meringankan beban lelaki itu ketika operasi menyelamat.
Namun, apa yang lebih mengharukan adalah Abang Azwan atau nama sebenarnya Azwan bin Omar memaklumkan yang dia melakukan perkara tersebut dengan ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa ganjaran.
For those yang nak tolong abg Azwan ❤️ pic.twitter.com/mT9HB8lnu8
— hasrulhashim (@hasrulhashim) December 19, 2021
Walaupun memberikan nombor akaun bank peribadinya, namun dia menyatakan duit yang diterima itu akan diberikan kepada mangsa-mangsa banjir kerana apa yang dilakukan hanyalah satu bentuk rasa prihatin terhadap bencana yang berlaku.
Tindakan murni lelaki tersebut mendapat respon yang pelbagai daripada warganet. Rata-rata begitu sebak dengan apa yang dilakukan dan mendoakan agar Abang Azwan diberi keselamatan semasa menjalani operasi menyelamat serta segala urusannya dipermudahkan oleh Allah S.W.T.
Menerusi Facebook peribadinya, Abang Azwan dilihat sempat bergambar di atas bot yang dikelilingi banjir dengan memaklumkan masih disini (Selangor) untuk meneruskan misi kebajikan bagi memastikan mangsa-mangsa banjir selamat.
Sumber: Twitter KulupKudin, @hasrulhashim, FB Azwan bin Omar