PETALING JAYA: DAP meletakkan dua calon baharu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, 20 November ini.
Bercakap semasa sidang media PRN Melaka di ibu pejabat DAP hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kedua-dua calon tersebut ialah Muhamad Danish Zainudin, 25, yang akan bertanding di DUN Pengkalan Batu manakala Leng Chau Yen, 37, bertanding di DUN Bandar Hilir.
Pengkalan Batu sebelum ini disandang oleh Datuk Norhizam Hassan Baktee pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) namun berpaling tadah kepada Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (PN) yang juga punca kejatuhan kerajaan negeri Melaka selepas menarik sokongan kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali (UMNO).
DUN Bandar Hilir pula sebelum ini disandang oleh Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew.
Mengulas lanjut, kata Guan Eng, DAP juga mengekalkan calon sedia ada di lima kerusi DUN iaitu Gadek, G. Saminathan; Ayer Keroh (Kerk Chee Yee); Kesidang (Allex Seah Shoo Chin); Kota Laksamana (Low Chee Leong); Duyong (Damian Yeo Shen Li).
Bagaimanapun, Kok Kiew yang akan bertanding di Bemban menggantikan penyandang sebelumnya, Dr. Wong Fort Pin. – UTUSAN ONLINE