KUALA LUMPUR: Dua pelumba muda negara menamatkan Perlumbaan 2 Pusingan 2 saingan Asia Talent Cup (ATC) di Litar Antarabangsa Losail, Qatar dengan masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.
Danial Syahmi Ahmad Shahril meraih tempat kedua buat kali kedua selepas meraih kedudukan sama pada Perlumbaan 1 manakala Hakim Danish Ramli kembali berada di pentas podium dengan berada di tempat ketiga.
Pelumba dari Jepun Taiyo Furusato terus membuktikan kemampuannya apabila meraih kemenangan buat kali keempat berturut-turut, meskipun pada dua perlumbaan pusingan kedua ini dicabar sengit Danial Syahmi.
Pada Perlumbaan 1, Danial kembali menemui penamat di podium selepas kali terakhir di pusingan kemuncak musim 2018 Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebelum insiden ngeri menghantui dirinya.
Ketika itu, pada perlumbaan terakhir musim, Danial Syahmi terbabit kemalangan serius hingga menyebabkan bahagian tulang betisnya hancur kira-kira 10 sentimeter. Ia kemudian terpaksa melalui proses rawatan lebih setahun di hospital.
Namun dengan kemunculan semulanya pada musim ini, Danial Syahmi, 19, dilihat lebih matang manakala pelumba rookie, Hakim Danish, 14, yang juga juara sulung SIC MiniGP dalam kelas 160cc tahun lalu, terus membuktikan kemampuannya di pentas antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd