KETUA jurulatih beregu profesional, Teo Kok Siang mengakui mempunyai banyak ‘kerja rumah’ susulan kian ramai pasangan bebas memilih untuk berlatih bersamanya.
Ia susulan kekangan kewangan yang terhad untuk membawa pembantu jurulatih di kem latihan mereka di Sri Petaling, Kuala Lumpur.
“Ia agak sukar, tetapi saya melihatnya sebagai tanggungjawab.
“Saya melatih mereka dan pada masa sama, mereka juga perlu memahami situasi saya, jadi kami saling menyokong,” katanya.
Beregu yang bernaung di bawah Kok Siang termasuk pasangan nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, selain Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong, Boon Xin Yuan-Lee Yi Bo dan Goh V Shem yang bergandingan dengan Choi Sol-gyu dari Korea Selatan.
Dalam acara beregu campuran, Kok Siang juga melatih Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien, serta Jimmy Wong yang akan bergandingan dengan Pei Jing selepas Kian Meng bersara.
Turut berada dalam kem tersebut ialah Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao.
“Tidak semua pemain di sini datang dari latar belakang yang beruntung (kewangan kukuh), jadi saya cuba berikan yang terbaik untuk melatih mereka.
“Saya juga menghargai pemahaman mereka, mengetahui bahawa saya adalah satu-satunya yang melatih mereka,” ujar Kok Siang.
Mereka baru-baru ini mendapatkan khidmat ahli fisioterapi, Aela Shamira Jamal Shaaban yang memberikan rawatan kepada pemain selepas sesi latihan dan kejohanan.
Aela bukan nama asing dalam dunia sukan setelah menghabiskan lebih sedekad di Institut Sukan Negara (ISN) dalam bidang kecederaan sukan dan pemulihan untuk atlet kebangsaan.
“Kami mempunyai seorang ahli fisioterapi, tetapi fokus utama adalah pada enam beregu utama yang sering bertanding dalam kejohanan.
“Mempunyai pembantu akan sangat membantu, namun ia bergantung kepada bajet pemain,” kata Kok Siang.
Sebagai rekod, Kok Siang menyertai pasukan kejurulatihan beregu profesional pada tahun 2023 untuk menyokong Rosman Razak yang kemudian menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada November lalu.