Dakwaan ditahan, Apek baik-baik sahaja – Isteri

Dakwaan ditahan, Apek baik-baik sahaja – Isteri

KUALA LUMPUR : Ringkas memberikan respons mengenai dakwaan ditahan pihak polis, isteri Saiful Apek, Roslina Abu Hasaan, memaklumkan keadaan pelawak dan pelakon tersebut baik-baik sahaja.

Menurut Roslina, Saiful atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff kekal dengan pendirian untuk tidak memberikan sebarang komen pada waktu ini.

“Apa yang boleh saya jawab, Apek baik-baik sahaja ini. Saya pun tak berani nak berikan sebarang kenyataan sekarang ini.

“Apa-apa kita tunggu esok ya. Mungkin esok dia akan berikan kenyataan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, malam tadi.

Terdahulu, kecoh apabila sebuah portal melaporkan kelibat seorang pelawak memakai baju merah jambu yang menyerupai Saiful Apek ditahan oleh dua anggota beruniform.

Bagaimanapun, lokasi dan punca kejadian masih belum dikenal pasti.

Sebelum ini, pada Mac lalu, industri hiburan juga dihangatkan dengan isu salah seorang anggota Senario dipercayai Yassin Yahya ditahan di Lapangan Terbang Jeddah oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Difahamkan, pelawak berkenaan menunaikan umrah bersama rakan-rakannya namun ditahan selepas disyaki membawa bahan terlarang.

Pelawak berkenaan dipercayai sedang menjalani penjara selama enam bulan selepas mahkamah menjatuhkan hukuman semasa tempoh perbicaraannya pada November tahun lalu.-UTUSAN

Scroll to Top