Da'i Syed dilepas sementara selepas 21 hari di Penjara Kajang

Da'i Syed dilepas sementara selepas 21 hari di Penjara Kajang

surayaroslan@mediaprima.com.my

Shah Alam: Pendakwah selebriti, Da’i Syed dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas 21 hari berada dalam Penjara Kajang.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan hingga rayuan didengar dan diputuskan.

Ia membabitkan rayuan bapa hukuman penjara dan sebatan yang diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada 30 Ogos lalu atas satu pertuduhan rogol.

Peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang turut mewakili pendakwah bebas itu mengesahkan pembebasan Syed selepas sesi pendengaran permohonan penggantungan pelaksanaan dibuat mengikut Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dengan beberapa syarat.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran syarat berkenaan secara terperinci.

Pada 30 Ogos lalu, Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan terhadap Syed Shah Iqmal selepas didapati bersalah merogol seorang wanita, pada lima tahun lalu.

Hakim, Norazlin Othman memerintahkan lelaki itu dihukum serta-merta selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Ketika membaca keputusan penghakiman, beliau berkata, pembelaan tertuduh bersifat penafian dan tidak cukup untuk mematahkan kes pendakwaan.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019 lalu.

Atas kesalahan itu, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April tahun lalu, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Selain kes ini, dia turut didakwa atas dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta, dilepaskan dan membebaskan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 31 Mei 2022 lalu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top