am@hmetro.com.my
Putrajaya: Cuba seludup dadah kokain seberat 1 kilogram dengan menyamar sebagai pelancong dari Timur Afrika.
Itu antara taktik seorang keldai dadah wanita warga Thailand berusia 30 tahun yang diberkas pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Mac lalu.
Difahamkan suspek cuba menyeludup dadah kokain seberat lebih lima kilogram disembunyikan di dalam bagasinya.
Penanggung Tugas-Tugas Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Dr. Ahmad Taufik Sulaiman, berkata, suspek wanita itu ditahan sebaik tiba di negara ini pada kira-kira jam 7 malam dengan menaiki penerbangan antarabangsa dari negara Timur Afrika.
“Wanita ini ditahan untuk pemeriksaan selepas imej imbasan ke atas beg miliknya menunjukkan objek dan imej mencurigakan, disyaki mengandungi dadah berbahaya.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bagasi wanita itu, pihak berkuasa menemukan 16 bungkusan plastik lut sinar yang mengandungi serbuk putih yang disyaki dadah jenis kokain,” katanya.
Dr. Ahmad Taufik berkata, siasatan awal mendapati dadah itu cuba diseludup masuk untuk tujuan pengedaran dalam negara.
“Modus operandi yang digunakan adalah dengan menyembunyikan kokain dalam ruang rahsia beg kraf tangan dan dijahit rapat bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
© New Straits Times Press (M) Bhd