Curi rim aloi, lelaki dipenjara setahun 3 bulan, denda RM1,000

Curi rim aloi, lelaki dipenjara setahun 3 bulan, denda RM1,000

am@hmetro.com.my

Manjung: Padah mencuri rim kereta hingga tular, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara setahun tiga bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Fakhrul Razzi Abd Hamid menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Badarudin, 39, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkap iaitu 10 Disember dan tambahan tiga bulan penjara, sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri komponen kenderaan iaitu dua rim aloi bersama tayar kereta Honda City GN2 warna hitam milik mangsa, K Indren, 33, di Parkir Berbayar Marina A1-A14 Lumut, di sini, jam 3 petang, 22 November lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun sehingga tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Ray, Mohd Hairol Jemain manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, A Sive Ganesh.

Terdahulu, tular video berdurasi 36 saat dalam media sosial yang memaparkan seorang lelaki mendakwa kedua-dua tayar belakang Honda City miliknya, termasuk rim, dicuri.

Mangsa itu mendakwa kejadian berlaku ketika mangsa berada di Pulau Pangkor selepas meletak kereta terbabit di tempat parkir kenderaan berbayar di sebuah pulau persendirian.

Mangsa turut meluahkan kekecewaan dengan mendakwa perlu membayar RM150 sebulan untuk tujuan parkir itu, namun aspek pengawasan tidak dititikberatkan sehingga berlaku kecurian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top