hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis sudah menyerahkan kertas siasatan berhubung siasatan empat anggota polis yang ditahan berkaitan kehilangan barang kemas milik seorang wanita yang meninggal dunia di dalam kereta pada 1 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan dan diserahkan semalam.
“Kertas siasatan itu sebelum ini telah diserahkan kepada Bahagian D5 (Pendakwaan / Undang-Undang) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, sebelum dirujuk ke Pejabat Peguam Negara.
“Semua empat anggota polis yang ditahan reman tiga hari sehingga Sabtu dibebaskan jaminan polis,” katanya pada sidang media di Dewan Serbaguna Taman Tasik Metropolitan Kepong, di sini, hari ini.
Terdahulu, Rusdi merasmikan program pendekatan kesedaran kes jenayah seksual dan penipuan dalam talian.
Rusdi berkata, pihaknya mencadangkan pertuduhan terhadap suspek di mahkamah.
“Status mereka masih bertugas dan kita menunggu tindakan lanjut,” katanya.
Jumaat lalu, media melaporkan empat anggota polis ditahan untuk siasatan kes kecurian barang kemas dikatakan milik seorang wanita yang ditemui meninggal dunia dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak, di sini.
Rusdi dilaporkan berkata, tangkapan itu hasil siasatan dijalankan susulan satu laporan daripada seorang lelaki tempatan.
Katanya, kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP), namun selepas memperoleh beberapa keterangan, kes diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Tangkapan dilakukan terhadap anggota polis berpangkat konstabel hingga koperal berusia lingkungan antara 28 hingga 35 tahun.
Terdahulu, seorang bekas pegawai kanan polis berusia 59 tahun membuat laporan di Balai Polis Setapak pada 8 Oktober lalu selepas mendapati barang kemas dipakai anak perempuannya ketika meninggal dunia, didapati hilang.
Beliau mendakwa selepas jenazah anaknya yang berusia 26 tahun itu selesai dikebumikan di Banting, Selangor, dia cuba mencari rantai, loket dan gelang emas pemberian nenek serta kakaknya itu.
Katanya, beliau dimaklumkan oleh pihak hospital dan polis bahawa anaknya tidak memakai barang kemas ketika dia ditemukan dalam kenderaan itu.
Pencarian di seluruh rumah sewa mangsa juga tidak menemui barang kemas, menyebabkan bapanya merujuk perkara itu kepada bomba yang memecahkan cermin kenderaan berkenaan yang berkunci.
Berdasarkan gambar daripada bomba, terdapat rantai dan gelang emas dipakai mangsa sebelum jenazah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd