Cukai perkhidmatan naik, kesan peningkatan harga lebih besar – Sian See

Cukai perkhidmatan naik, kesan peningkatan harga lebih besar – Sian See

KUALA LUMPUR – Kenaikan cukai perkhidmatan dari enam ke lapan peratus Mac ini akan memberi kesan peningkatan harga yang lebih besar.

Penganalisis politik, Lim Sian See berkata, skop cukai perkhidmatan akan diperluas kepada sektor-sektor lain sekali gus menambah tekanan terhadap harga hampir semua barang.

“Sebab itu, langkah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ganti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah antara penyumbang kepada kenaikan harga barang,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Kenaikan kadar cukai perkhidmatan sebanyak dua peratus itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen, Oktober lalu.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kenaikan itu tidak melibatkan perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

Sian See menambah, rancangan kerajaan untuk memperluaskan skop cukai perkhidmatan ke sektor logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke akan memberi impak tidak langsung kepada harga hampir semua barang.

Menurut beliau, seperti perubatan tradisional, sektor-sektor tersebut pernah diberi pengecualian tetapi kini kerajaan mahu ia dikenakan cukai.

“Masalah dengan sistem cukai SST ini adalan ia tidak telus dan mempunyai ciri cukai atas cukai atau apa yang dikatakan kesan bertindih.

“Ia berbeza dengan sistem cukai GST yang boleh dituntut semula. Cukai SST tak boleh tuntut semula,” jelasnya.

Sian See berkata, atas sebab itu, kos barang akan naik dengan lebih tinggi berbanding kadar cukai yang dikenakan.

“Lagi rumit dan besar rantaian bekalan, lagi besar kesan cukai SST sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top