Cubaan mengaburkan ajaran Islam dari dalam

Cubaan mengaburkan ajaran Islam dari dalam

Bagi akal yang sihat akan menilai suatu jalur pemikiran berdasarkan pandangan, kaedah dan pertimbangan pendukung yang diiktiraf sebagai ‘rijal’ dalam jalur pemikiran terbabit. Ia prinsip asas yang memperkenalkan setiap mazhab dalam Islam malah kelompok idealisme di luar daerah Islam. Walhasil, terbentuklah kumpulan seperti al-Jabariyyah, al-Qadariyyah, al-Muktazilah, al-Mujassimah, Syiah dan lainnya mempunyai identiti yang berbeza sekalipun bersepakat pada pandangan tertentu.

Perbezaan ini dimaklumi dalam kalangan ilmuwan sama ada daripada kumpulan yang disebutkan di atas atau daripada Ahli Sunah Waljamaah. Oleh itu, mereka saling menjarakkan diri jauh daripada satu dengan yang lain dengan pencerahan dan kritikan jika dikatakan sama atau sepakat. Berbeza pula dengan pihak yang mendakwa sebagai salafiah yang baru muncul pada kurun ke-18 Masihi, mereka gagal membezakan antara fahaman Ahli Sunah Waljamaah dengan aliran pemikiran sesat sehingga menghukumkan al-Asyairah dan al-Maturidiyah sebagai ahli falsafah atau al-Jahmiyyah. Kegagalan pihak ini berpunca daripada tidak menggunakan kaedah pengkajian ilmiah yang absah, lemah menganalisis di samping gelojoh menghukum yang sentiasa membawa hujah dangkal serta sifar nilai akademik.

Jika mereka hanya terbuka menerima satu fakta bahawa setiap aliran berkembang disebabkan oleh idea yang mengukuhkan aliran terbabit seperti fahaman salafiah telah berkembang maka mereka pasti berjaya keluar daripada pusaran kebingungan yang menggagalkan kepintaran mereka sekian lama. Mereka akan berjaya mengenal fahaman Ahli Sunah Waljamaah berbeza daripada aliran sesat kecuali salafiah sengaja menyesatkan al-Asyairah dan al-Maturidiyah.

Dr Hatim al-Awni, seorang ilmuwan Ahli Sunah Waljamaah di Arab Saudi ketika mengulas tentang pemikiran Imam Abu Hasan al-Asy’ari berkata, dua kriteria penting bagi membezakan idea dibawa oleh Imam al-Asyari ialah pertama, tokoh sealiran yang hidup pada sezaman atau hampir dengan zaman beliau. Penyaksian melalui pandangan atau daripada nukilan mereka lebih kuat berbanding tokoh yang datang kemudian.

Kedua, memilih pandangan tonggak utama mazhab al-Asyairah yang diperakui pakar tentang pemikiran Imam al-Asy’ari bahkan penunjang beliau. Dr Hatim menegaskan, dua kriteria ini hanya dipenuhi oleh tiga nama masyhur dalam mazhab al-Asyairah iaitu al-Baqilani, Ibnu Furak dan al-Isfarayini. Ketiga-tiganya menjadi rujukan penting pemikiran al-Asyairah sama ada bagi ilmuwan sezaman atau sesudah mereka atau sekalian ilmuwan al-Asyairah hari ini atau selain mereka.

Bersumberkan tiga tokoh ini, perkembangan aliran al-Asyairah diyakini terpisah daripada fahaman aliran sesat kerana setiap ilmuwan al-Asyairah mesti diiktiraf kesepakatan mereka di samping tinggi kewibawaan.

Dr Taha Hubayshi, seorang ilmuwan al-Azhar menyifatkan kesepakatan ilmuwan al-Asyairah adalah manifestasi kesinambungan fikrah serta semangat agama yang terdapat pada mafhum ahl, tanpa disempadani oleh tempat dan masa kerana itu mereka segera dimasyhurkan sebagai Ahli Sunah Waljamaah. Al-Asyairah dipastikan bukan al-Muktazilah sekalipun sama-sama menggunakan ilmu kalam dalam berhujah kerana al-Muktazilah berazam meruntuhkan autoriti hadis sementara al-Asyairah menggunakan ilmu kalam bagi membentengi sunah. Hal ini terbukti terdapat dalam kesemua karya ilmuwan al-Asyairah dan daripada sejumlah besar ilmuwan hadis terkemuka bermazhab al-Asyairah.

Al-Asyairah bukan ahli falsafah dalam pembelajaran Sifat 20 kerana tiada seorang ahli falsafah mengembangkan pembelajaran terbabit. Sebaliknya al-Asyairah bersama al-Maturidiyah membangunkan Sifat 20 sebagai metodologi berfikir Islamik menentang ideologi yang dibawa oleh golongan ateis, al-Mujassimah, al-Mushabihah, radikalisme dan antitesis, suatu yang gagal dibangunkan oleh pendakwa salafiah. Ilmuwan terkemuka al-Asyairah semisal al-Ghazali sendiri mengkritik ahli falsafah serta pemikiran mereka dalam karyanya yang khusus seperti Tahafut al-Falasifah dan al-Munqidh min al-Dalal.

Al-Ghazali memperkenalkan konsep ta’alluqayn (dwikaitan) hasil daripada integrasi pemikiran al-Asyairah dan al-Maturidiyah yang berjaya memecah kerumitan dalam isu hubungan qadim dan baharu serta perbuatan Allah. Walaupun isu ini bersifat dialektik, al-Ghazali tidak membahaskannya mengikut manual falsafah Yunani kuno bahkan menolak ideologi sofisme dan naturalisme yang menjadi pautan al-Muktazilah, al-Mujassimah serta lainnya daripada doktrin moden Barat yang wujud pada hari ini.

Apa yang dibahaskan oleh al-Ghazali atau ilmuwan al-Asyairah lainnya adalah perbahasan yang sedia ada terkandung dalam al-Quran dan hadis Nabi SAW. Al-Sam’ani, ilmuwan Islam kurun ke-5 Hijriah, dalam salah satu kenyataannya, bahawa telah sepakat ahli Islam mutakadimun dan mutakhirun berkenaan riwayat hadis tentang sifat Allah, permasalahan qadar, al-ru’yah (melihat Allah) dan lain-lain lagi, kesemuanya adalah perbahasan ilmiah dan bukan amali, diriwayatkan bagi menghasilkan ilmu apabila mendengarnya. Pada sudut ini mazhab al-Asyairah berbeza dengan ilmuwan hadis hanya pada metodologi berinteraksi dengan nas. Atau Dr Hatim membahagikan metodologi mereka kepada dua; al-Asyairah mewakili madrasah kalam sementara ilmuwan hadis mewakili madrasah naqdi (kritikan) terhadap hadis nabawi. Kesemuannya memelihara kemurniaan dan sesucian Islam dan meletakkan ilmu Islam pada kedudukan yang tinggi.

Usaha menyamakan mazhab al-Asyairah dengan aliran sesat khususnya ahli falsafah adalah cubaan mengaburkan ajaran Islam dari dalam. Ia hanya membawa kepada liberalisasi berakidah disebabkan umat Islam tidak mengikuti metodologi berakidah yang betul. Apabila ditanyakan kepada Dr Ahmad Hasan Farhat, ilmuwan Islam di Syria tentang dakwaan gerakan pemikiran dalam tradisi Islam muncul daripada terjemahan bahan falsafah Greek, beliau menegaskan dakwaan itu memburukkan inteligensia umat Islam bahkan menuduh mereka jumud dalam melakukan kajian, malangnya lagi memberi pujian kepada falsafah Yunani. Sahabat RA dan tabiin turut menerima tempiasnya kerana mereka golongan terawal menukilkan wahyu kepada umat Islam sekaliannya. Justeru, adalah bijak membezakan terlebih dahulu di antara cara mantik Aristotle-Yunani dengan mantik usul-Islam sebelum melakukan sebarang dakwaan murahan kerana kedua-dua mantik tersebut mempunyai ruang perbahasan, kaedah, natijah dan sumber yang berbeza.

Penulis Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

© New Straits Times Press (M) Bhd