Istanbul: Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 14 lagi cedera pada Sabtu susulan letupan di sebuah bangunan empat tingkat di barat laut Syria, lapor Anadolu Ajansi.
“Mayat seorang kanak-kanak dan seorang lelaki telah dikeluarkan dari bawah runtuhan bangunan kediaman yang runtuh di kejiranan Al-Raml Al-Janoubi di Latakia, susulan letupan di sebuah kedai besi buruk di tingkat bawah bangunan itu,” menurut Pertahanan Awam Syria dalam hantaran di X.
Menurut Pertahanan Awam Syria, bilangan kematian meningkat kepada 10 orang, termasuk tiga wanita dan dua kanak-kanak dengan tiga mangsa masih belum dikenal pasti manakala 14 orang awam cedera, termasuk empat kanak-kanak.
Pasukan itu menjelaskan bahawa angka berkenaan adalah bersifat sementara kerana operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan bagi mengeluarkan mereka yang terperangkap di bawah runtuhan.
Letupan itu berpunca daripada tindakan seorang individu yang cuba membongkar sisa bahan letupan tinggalan perang di dalam kedai besi buruk berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd