KOTA BHARU: Cuaca panas ketika ini memberikan cabaran kepada seorang pelajar bukan Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan sepertimana dilakukan rakannya yang beragama Islam.
Jayden Leong, 20, yang merupakan pelajar perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian berkata, walaupun sudah mempunyai pengalaman berpuasa sebelum ini, cuaca panas menyebabkan dia tidak dapat menahan dahaga.
“Walaupun tidak puasa penuh, saya lihat amalan berpuasa sangat baik untuk mendisiplinkan diri serta kesihatan. Setakat ini saya baru berpuasa tiga hari, bagaimanapun saya tidak makan atau minum air kerana menghormati rakan-rakan yang beragama Islam.
“Selain berbuka (puasa), waktu sahur juga sangat menyeronokkan kerana kami beramai-ramai ke tempat makan untuk menikmati hidangan yang disediakan, walau mengantuk tapi seronok,” katanya ketika ditemui semasa program mahabbah ‘Masjid Tour Guide’ (MTG) anjuran Masjid Jamek Muhammadi, semalam.
Sementara itu, penyelaras program, Suriati Abdul Halim berkata, MTG dianjurkan dengan kerjasama antara Islamic Outreach ABIM Centre, Masjid Jamek Muhammadi dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Katanya, program itu dianjurkan bertujuan memberi peluang kepada tetamu bukan Islam untuk merasai suasana berbuka puasa di masjid.-UTUSAN.