CSOIAM: Jimi Hargai Doa Yusry Untuk Bersaing Di Pentas AJL, Rancang Keluar Single

CSOIAM: Jimi Hargai Doa Yusry Untuk Bersaing Di Pentas AJL, Rancang Keluar Single

Peserta Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Jimi mengakui terharu apabila juri tetap program tersebut, Datuk Yusry Abdul Halim menjangka anak muda berusia 23 tahun ini akan ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun hadapan.

Ketika ditemui XTRA, Jimi atau nama sebenarnya, Hazimi Kamal tidak akan mensia-siakan peluang untuk mencipta beberapa single.

“Mengenai jangkaan juri untuk saya ke AJL tahun depan, insya-Allah akan dipertimbangkan. Selepas CSOIAM berakhir, saya merancang beberapa projek seperti melancarkan single.

“Segala pujian yang diberikan, saya anggap sebagai penguat semangat untuk beri yang terbaik. Apatah lagi, kata-kata diucapkan itu adalah doa dan saya sangat berterima kasih,” katanya.

Jimi berkata demikian ketika ditemui di konsert minggu kelima CSOIAM di Studio TV3, Glenmarie di sini, pada Ahad.

Ia susulan persembahan duet Jimi bersama penyanyi bersuara lunak, Misha Omar menerusi lagu Terimaku Seadanya telah menerima pujian juri-juri.

Menerusi konsert minggu kelima CSOIAM, Jimi menerima pujian Yusry selepas menampilkan persembahan memukau dengan membawakan lagu Terima Aku Seadanya secara duet bersama Misha Omar selepas memenangi peserta Terpaling Fizz untuk kali kedua pada minggu ke-5.

Yusry berkata Jimi yang berasal dari Pulau Pinang itu mempunyai keunikan sekali gus berpotensi untuk mengorak langkah lebih jauh dalam bidang nyanyian.

“Persembahan duet awak dan Misha ini bagus. Menang atau tidak di CSOIAM, saya fikir AJL tahun depan awak ada,” katanya.

Sementara itu, tiada penyikiran pada konsert minggu lalu sekali gus melayakkan enam peserta pertandingan CSOIAM berjaya mara ke pusingan seterusnya yang bertemakan ‘Saling Menyengat Fizz Sangat’ di minggu ke-6.

Enam peserta iaitu Mary Grace, Zazzleen, Jimi, Mariam, Eylia dan Khai Deva masing-masing akan berduet bersama penyanyi artis popular seperti Marsha Milan, Amir Masdi, Shiha Zikir, Aisha Retno, Khai Bahar, dan Haqiem Rusli.

Bagaimanapun, pasangan duet untuk semua peserta akan dimaklumkan kemudian.

Teruskan menyaksikan Calpis Soda One In A Million secara langsung di TV3, setiap Ahad, jam 9.00 malam, atau strim secara HD di Tonton.

Jangan lepaskan peluang untuk menonton program berprestij ini setiap minggu untuk peluang menangi hadiah berupa sebuah PEUGEOT Landtrek bernilai RM123,000 bagi mereka yang bertuah!

Jangan terlepas untuk merasai keterujaan sorotan eksklusif pengalaman peserta melalui Calpis Soda One In A Million: Fizz Journal, yang bersiaran setiap Khamis hingga Sabtu, jam 9.00 malam.

Ikuti perkembangan terkini di media sosial @CalpisSodaOIAMTV3 dan gunakan hashtag #OIAM untuk berinteraksi mengenai program ini.

Scroll to Top