BRASÍLIA: Brazil mencatat rekod angka korban baharu akibat COVID-19 apabila melaporkan 3,650 kematian, semalam, kata Kementerian Kesihatan.
Penularan wabak itu semakin tidak terkawal di negara ekonomi terbesar Amerika Latin ini yang menyaksikan Brazil berterusan mencatat rekod angka kematian dan jangkitan baharu sejak Februari lalu.
COVID-19 telah meragut lebih 307,000 nyawa di Brazil, setakat ini.
Angka harian kematian baharu di negara ini melepasi 3,000 kes, Selasa lalu, berbanding purata 2,400 pada minggu sebelumnya.
Jumlah itu terus melonjak berikutan faktor seperti orang ramai mengabaikan penjarakan fizikal dan kemunculan varian baharu dengan kebolehjangkitan lebih tinggi.
Satu lagi masalah besar ialah vaksinasi yang perlahan di Brazil dengan setakat ini, hanya 5.9 peratus daripada keseluruhan 212 juta penduduknya telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd