WASHINGTON- Agensi Perisikan Pusat (CIA) pada Sabtu menyimpulkan bahawa virus Covid-19 bermula ‘lebih berkemungkinan’ bocor dari sebuah makmal di China, berbanding andaian ia tersebar secara semula jadi melalui haiwan dalam penilian baharu tentang asal-usul wabak yang membunuh berjuta-juta orang itu.
Agensi perisikan AS itu berkata ia membuat kesimpulan itu walaupun dengan keyakinan rendah, pandemik Covid-19 lebih berkemungkinan berpunca daripada kegiatan penyelidikan di makmal, berbanding berlaku secara semula jadi, berdasarkan maklumat yang ada.
“CIA masih meneliti punca penularan Covid-19 dan setakat ini percaya bahawa kedua-dua kemungkinan virus bocor dari makmal dan kemungkinan ia berlaku secara semula jadi masih boleh diterima (berdasarkan bukti yang ada),” kata jurucakap tersebut.
Covid-19 bermula dari Wuhan, China.
Penilaian baharu ini dikeluarkan selepas John Ratcliffe dinamakan sebagai pengarah CIA pada Khamis di bawah pentadbiran Donald Trump.
Ratcliffe, yang berkhidmat sebagai pengarah perisikan negara dari 2020 hingga 2021 sewaktu penggal pertama Trump, berkata dalam satu wawancara yang diterbitkan pada Jumaat bahawa keutamaannya dari ‘hari pertama’ adalah untuk menyiasat asal usul Covid -19.
“Berdasarkan akal yang sihat, asal-usul Covid-19 saya percaya bahawa ia bocor dari dari Institut Virologi Wuhan,” kata Ratcliffe.
Seorang pegawai Amerika memberitahu AFP bahawa perubahan pendirian ini adalah berdasarkan analisis baharu terhadap perisikan sedia ada yang diarahkan oleh pengarah CIA sebelumnya, William Burns.
Laporan itu siap sebelum kehadiran Ratcliffe pada minggu ini.
Dalam pada itu, senator Republikan Tom Cotton dari negeri Arkansas berkata, beliau berbesar hati dengan pendedahan terbaharu CIA itu yang menurutnya, teori kebocoran virus itu dari makmal adalah penjelasan yang paling munasabah sambil memuji Ratcliffe kerana berani menyahklasifikasi penilaian.
“Sekarang perkara yang paling penting adalah meminta China ‘membayar’ kembali wabak yang sudah mereka lepaskan ke dunia ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, pihak kedutaan China di Washington tidak segera membalas mesej perihal berkenaan.
Sebelum ini pihak berkuasa China telah menolak spekulasi tentang asal-usul Covid-19 berasal dari makmal yang disifatkan negara itu sebagai bermotifkan politik.
Sementara itu, beberapa agensi Amerika, seperti Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Tenaga, menyokong teori kebocoran makmal, sekalipun tahap keyakinan mereka berbeza.
Kebanyakan agensi perisikan atau penganalisis bagaimanapun cenderung mempercayai virus Covid-19 berasal dari sumber semula jadi.
Mereka yang percaya kebocoran makmal adalah punca Covid-19 menekankan bahawa kes pertama dikesan di Wuhan, China.
Lebih tepat lagi, kes tersebut dilaporkan di sebuah hab penyelidikan virus korona yang terletak kira-kira 1,600 kilometer dari populasi kelawar yang membawa virus serupa dengan SARS.
Pada 2020,Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), menolak sepenuhnya dakwaan bahawa virus itu kononnya merupakan hasil buatan makmal.
“Semua bukti kajian yang ada ketika ini jelas mengatakan bahawa ia berkemungkinan berasal dari haiwan dan tiada bukti yang kukuh mengatakan ia dimanipulasi atau dicipta di makmal atau dari mana-mana tempat yang tidak diketahui,” kata jurucakap WHO, Fadela Chaib.
Chaib, pada masa sama, menekankan bahawa selari dengan konsensus saintifik, virus itu dikaitkan dengan kelompok ekologi kelawar.
Senada dengan Chaib ialah profesor mikrobiologi dan imunologi di Universiti Columbia, Vincent Racaniello yang membidas dakwaan tersebut dan mengesahkan Covid-19 bersifat semulajadi selepas ciri-cirinya diteliti.
“Tiada persoalan tentang virus itu merupakan buatan manusia atau makmal dan mereka yang berpendapat sedemikian sebenarnya tidak melihat dari sudut sains,” katanya. – Agensi
INFO
Virus Covid-19 mula dikenal pasti di bandar Wuhan, China pada Disember 2019, dengan ramai yang mengesyaki pasaran haiwan hidup terbabit, sebelum merebak ke seluruh dunia.
Pada 2023 WHO mendedahkan bahawa Covid-19 telah meragut nyawa 337 juta nyawa di seluruh dunia.