Corak permainan JDT tak ikut perancangan Mora

Corak permainan JDT tak ikut perancangan Mora

rizar@mediaprima.com.my

JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora berkata corak permainan ditampilkan pemainnya bukan seperti dirancang selepas bergelut untuk melakar kemenangan 3-1 ke atas UiTM FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

Katanya, apa yang dipamerkan mereka terutama pada babak pertama tampak begitu gugup dan kerap melakukan kesalahan yang memudahkan UiTM FC mengimbangi corak permainan sehingga mampu menjaringkan gol.

“Ia aksi yang sukar pada 35 minit babak pertama buat kami walaupun mengawal permainan dan gerakan tapi hanya sedikit kesilapan ketika aksi memasuki penghujung babak pertama, UiTM FC ambil kesempatan menjaringkan gol.

“Lawan tampil dengan corak permainan tersusun dan membentuk corak bertahan yang kemas sehingga kami sukar memecah benteng mereka. Namun kami sedar apa yang berlaku dan apabila aksi bersambung pemain tampak mahu bangkit daripada persembahan kurang meyakinkan di babak pertama.

“Saya tahu setiap pemain JDT mampu melaksanakan tugas mereka dan kembali beraksi konsisten pada babak kedua dan tampil dengan corak permainan yang tersusun

“Bermula dengan kesungguhan untuk bangkit daripada ketinggalan, mereka berjaya menjaringkan gol di awal babak kedua dan momentum itu berterusan selepas terus beri tekanan terhadap UiTM FC dan hasilnya kami menang 3-1 untuk kekal di tangga teratas,” katanya.

Ditanya mengenai perubahan di saat akhir apabila mengeluarkan Leandro Velazquez walaupun pada awalnya tersenarai dalam kesebelasan utama, Mora menegaskan pemain itu mengalami kecederaan dan memasukkan Nazmi Faiz Mansor di posisi tengah.

“Leandro akan kembali untuk Selangor FC nanti dan kami tidak mahu ambil risiko turunkan dia pada aksi menentang UiTM FC. Malah Mauricio (Dos Santos) juga sudah pulih daripada kecederaan dan bersedia untuk aksi seterusnya.

“Safawi (Rasid) sudah bebas daripada kecederaan dan kenapa saya tidak turunkan dalam kesebelasan utama pada aksi malam ini (malam tadi) kerana ia bergantung kepada perancangan taktikal dan kami juga ada ramai pemain sayap seperti Sumareh, Akhyar (Rashid), Ariff Aiman dan Ramadan (Saifullah) yang ketika ini mengalami kecederaan,” kata Mora.

© New Straits Times Press (M) Bhd