hafizithnin@mediaprima.com.my
“SEBAIK sahaja kami membuka pintu rumah selepas dua minggu menjalani kerja dekorasi, memang terasa bagaikan berada di ruang hotel. Tampak luas dan begitu selesa. Lebih penting elemen yang kami mahukan itu tampak serasi,” kata pemilik rumah berkeluasan 1,257 kaki persegi itu kepada penulis.
Ternyata bukan mudah menyatukan cita rasa pasangan suami isteri ini dalam dekorasi rumah berkenaan kerana seorang gemarkan unsur kayu manakala seorang lagi gemarkan sesuatu yang tampak luas dan moden.
Akhirnya dengan sentuhan pereka hiasan dalaman, impian pasangan suami isteri, Amrul Karim Sahbudin, 39, dan Noor Sabarina Kassim, 38, yang ingin mempunyai dua elemen berkenaan dapat direalisasikan.
Noor Sabarina berkata, dia dan suami membeli rumah itu sejak 2020, tetapi tidak mendiaminya sehingga awal tahun lalu. Dalam tempoh itu, dia ada juga melihat beberapa hasil sentuhan pereka hiasan dalam media sosial.
“Dalam tempoh empat tahun itu, sebenarnya pelbagai perkara yang menyebabkan saya tertangguh untuk mendiami rumah ini antaranya kerana saya melahirkan anak.
“Jadi, saya dan suami inginkan rumah yang mempunyai dekorasi sesuai dengan cita rasa kami kerana ingin memberi aura baharu sebaik sahaja mendudukinya,” katanya.
Pada tahun lalu, Noor Sabarina terlihat hasil kerja seorang pereka hiasan dalaman tempatan di media sosial dengan paparan hasil kerja yang menarik perhatian. Lalu, dia menghubungi pereka hiasan dalaman berkenaan.
“Sekitar Oktober tahun lalu saya menghubungi pereka hiasan dalaman berkenaan memaklumkan mengenai hasrat mewujudkan dekorasi tertentu pada rumah kami. Jadi, kami maklumkan mengenai elemen yang perlu ada.
“Perkara lebih penting ialah saya tidak mahu terlalu mengikut trend konsep rumah yang begitu popular seperti muji atau japandi. Cukup sekadar ia nampak luas, selesa selain terasa bagaikan berada dalam hotel dan lebih penting mempunyai elemen kayu seperti diinginkan suami,” katanya.
Jelasnya, dalam tempoh beberapa minggu hasil perbincangan pertama dengan pereka hiasan berkenaan, dia diberikan lakaran tiga dimensi (3D) oleh pereka hiasan dalaman itu dan kami terus menyukainya.
“Selepas membuat pembayaran, pada Januari lalu, kerja mendekorasi membabitkan lima ruang utama dalam rumah ini iaitu bilik tidur utama, dapur basah, ruang tamu, lalu masuk dan dapur dilakukan.
“Kos keseluruhan rumah ini mencecah RM90,000. Bagi saya kos itu amat berbaloi kerana ia termasuk perabot, aksesori dan upah perundingan untuk lima ruang berkenaan,” katanya.
Jelasnya, memaklumkan kepada pereka mengenai cita rasa pemilik kepada pereka hiasan dalaman adalah amat penting supaya kedua-dua pihak dapat bekerjasama dengan baik.
“Komunikasi adalah kunci apabila melantik pereka hiasan dalaman kerana sebagai pemilik kita perlu berterus terang dengan pereka hiasan dalaman dari segi rekaan dan pemandangan yang dimahukan.
“Setiap pemilik mempunyai cita rasa peribadi. Begitu juga dengan saya dan suami sebenarnya agak buntu cara menggabungkan dua elemen berkenaan. Dengan bantuan pereka hiasan dalaman yang berpengalaman, sudah semestinya memudahkan urusan,” katanya.
Hasilnya, sebaik sahaja menjengah rumah jenis kondominium yang terletak di ibu negara itu, kelihatan tidak ubah seperti berada dalam sebuah ruang hotel yang cukup selesa dan terasa seperti ruangnya begitu luas.
Perkara ini kerana gabungan warna lembut seperti krim dan putih memberikan kesan luas yang cukup baik walaupun sebenarnya ada ruang dalam rumah berkenaan tidak begitu besar dari segi angka keluasannya.
Aturan hiasan dinding seperti panel kayu dan jubin berskala besar, dilihat sebagai pilihan terbaik untuk memberi gaya mewah seperti berada di sebuah hotel lima bintang.
Noor Sabrina berkata, dia merasakan aturan warna lembut yang bukan sekadar pada cat dinding dan aksesori di bahagian dinding sahaja memberi kesan harmoni itu, malah pereka hiasan juga bijak mengadunkan dengan warna pada perabot.
“Perabot dalam rumah saya semuanya berwarna lembut seperti putih dan krim. Jadi, penggunaan warna dalam ruang itu dilihat memainkan peranan amat penting.
“Selain itu, elemen kayu yang diinginkan suami turut diletakkan sebagai salah satu titik fokal di bahagian hiasan dinding yang sebenarnya berfungsi sebagai almari simpanan barangan di ruang tamu,” katanya.
Katanya, dia juga meminta pereka hiasan dalaman mewujudkan lebih banyak ruang simpanan barangan dan perabot itu dilihat sebagai salah satu hiasan dalaman yang menarik.
“Ditambah dengan kesan cahaya lampu jingga yang lembut turut memberi aura menarik dalam ruang rumah kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd