am@hmetro.com.my
Kuantan: “Selepas disahkan menghidap barah payu dara tahap empat, setahun kemudian, saya disahkan pula menghidap barah tiroid tahap dua,” kata Wan Suhartini Wan Abdul Kadir.
Wan Suhartini, 44, yang juga guru mata pelajaran kimia berkata, pada peringkat awal disahkan menghidap barah pada 2017, dia hanya memikirkan ia akan berakhir dengan kematian, seterusnya meninggalkan suami dan empat anak berumur 10 hingga 19 tahun.
Katanya, sepanjang sembilan tahun menghidap barah payu dara dan tiroid, dia menjalani empat pembedahan, enam kemoterapi serta 15 radioterapi.
“Saya bersyukur dan reda dengan ujian ini. Dugaan ini memang berat namun saya perlu terus tabah serta berserah kepada Allah SWT.
“Saya perlu sentiasa kuat serta bersemangat untuk meneruskan kehidupan. Igauan kematian yang sentiasa berlegar di fikiran sebelum ini semakin dapat dilupakan. Saya yakin, Allah SWT memberi peluang kedua kepada saya untuk meneruskan kehidupan bersama keluarga,” katanya.
Beliau berkata, detik tidak dapat mengeluarkan suara selama tiga bulan selepas pembedahan cukup mencabar, terutama ketika pelajarnya dalam persiapan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ketika itu, dia tidak mampu mengajar secara normal kerana tidak dapat berkomunikasi dengan jelas.
“Buat penghidap barah, kita perlu kuatkan semangat, yakin pada rawatan yang ada dan tidak cepat putus asa. Yakin juga pada kekuasaan Allah SWT dan jangan berhenti berdoa.
“Barah bukan pengakhiran bagi kehidupan malah ramai penghidapnya kini sembuh,” katanya yang kini adalah ahli jawatankuasa Pertubuhan Sokongan Pesakit Kanser Pahang.
Sementara itu, Nur Farah Nisrina Nor Rasiddi, 20, yang sudah empat tahun menghidap barah tulang tahap empat, dia menjalani dua pembedahan bagi mengeluarkan tempurung lutut kanan dan paru-paru.
“Saya menjalani 12 kemoterapi sepanjang tempoh rawatan. Hari ini, saya menjalani kehidupan yang lebih selesa walaupun tidak dapat membengkokkan kaki kanan dengan sempurna.
“Saya bersyukur dapat meneruskan kehidupan walaupun sebelum ini pernah memikirkan kehidupan sudah berakhir,” katanya yang kini menunggu keputusan SPM sambil bekerja di sebuah hotel.
Tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd